PETALING JAYA: Pelakon, Arfie Shah meluahkan keinginannya untuk menjayakan watak hero romantik selepas beberapa tahun bergelar anak seni.
Menurut Arfie, dia pernah membintangi beberapa drama bergenre romantik, namun watak yang dijayakan tertumpu kepada aksi yang dianggap lebih bersesuaian dengan penampilannya.
“Saya teringin jadi watak hero romantik. Tetapi ramai yang anggap saya sesuai lakonkan genre aksi. Mungkin penampilan saya bukanlah seperti hero ‘Alpha’ macam Brad Pitt atau Zul Ariffin.
“Saya pernah saja jayakan naskhah bergenre romantik tetapi itu pun lebih kepada aksi,” katanya ketika ditemui di sidang media Teater Tarik Picu, semalam.
Tambah Arfie, meskipun sedar penampilannya tidak mencapai standard yang diimpikan kebanyakan produksi untuk watak hero, dia yakin masih mampu menjayakannya dengan cara tersendiri.
“Saya boleh sahaja menjadi hero berdasarkan karakter yang dimahukan oleh sesebuah naskhah. Saya juga tidak rasa mahu bersaing kerana saya cuba menjadi diri sendiri dan tidak semua hero memerlukan cerita begitu.
“Saya anggap perjalanan seni saya macam hero seperti Niezam Zaidi dan Beto Kusyairy. Perjalanan seni saya mungkin tidak begitu laju tetapi suatu hari nanti pasti akan ada,” ujarnya.
Dalam masa sama, Arfie mengakui dirinya tidak akan menolak sekiranya ditawarkan untuk berlakon dalam naskhah bergenre romantik komedi atau romkom yang digemarinya sejak kecil.
“Saya masih menunggu peluang untuk berlakon dalam cerita bergenre romkom. Kalau ditawarkan, saya tidak akan menolak kerana saya membesar dengan cerita-cerita bergenre romkom.
“Walaupun semua genre lain pun seronok untuk dijayakan, cuma romkom ini adalah antara genre yang paling saya tunggu untuk jayakan,” jelasnya.
Berkongsi mengenai perjalanan kariernya di Taiwan, pelakon filem Impak Maksima 2 itu memaklumkan proses penggambaran telah selesai dijalankan, namun naskhah yang dibintanginya masih belum ditayangkan.
“Sejak tahun lalu, saya sibuk menjalani penggambaran beberapa naskhah tetapi semuanya belum ditayangkan lagi termasuklah naskhah lakonan saya di Taiwan.
“Ramai juga yang menantikan kemunculan saya dalam naskhah yang di Taiwan itu. Ada juga beberapa filem, telemovie dan drama vertikal yang masih belum dikeluarkan. InshaAllah, semuanya akan ditayangkan tidak lama lagi,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Arfie bakal terlibat dalam pementasan teater Tarik Picu yang bakal berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 16 hingga 19 Julai 2026.
Karya nukilan Amar Amir dan arahan Fazleena Hishamuddin itu turut dibarisi pelakon seperti Idan Aedan, Jay Iswazir, Khenobu serta Amalina Arham.




