Kredit: Cef eksekutif, Cef Ahmad Zaim Abdullah, Courtyard by Marriott, Penang.
Menu ikan bakar biasanya menggunakan ikan seperti siakap, pari, merah, jenahak, kembung, bawal dan cencaru.
Sesekali, tidak salah mencuba kelainan dengan menggunakan ikan salmon sebagai pilihan moden dan berkhasiat.
Hidangan ini lebih menyelerakan apabila digandingkan dengan sambal kicap yang pedas dan manis.
Bahan-bahan salmon:
• 1 keping isi salmon (150 hingga 200 gram setiap satu)
• 2 ulas bawang putih (dicincang halus)
• 2 biji limau kasturi
• 1 sudu besar minyak masak
• 1 sudu kecil rempah kari
• 1 helai daun limau (dihiris halus)
• ½ sudu kecil garam
• ½ sudu kecil pes halia (halia dikisar halus)
• ½ sudu kecil gula perang
Cara penyediaan salmon:
• Gaulkan semua bahan perapan, kemudian lumurkan pada isi salmon sehingga rata.
• Perapkan selama 15 hingga 30 minit.
• Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah Celsius atau panaskan pemanggang.
• Bakar salmon selama 12 hingga 15 minit, bergantung pada ketebalan isi ikan, sehingga masak dan mudah terlerai dengan garpu.
Bahan-bahan pes:
• 15 tangkai cili kering (direbus hingga lembut)
• 100 gram udang kering
• 5 biji cili merah
• 5 ulas bawang merah
• 4 ulas bawang putih
• 2 sentimeter halia
• 2 sentimeter lengkuas
• 1 batang serai (bahagian putih)
• 1 sudu besar belacan (dibakar)
• 2 sudu besar air asam jawa
• 2 hingga 3 sudu besar gula Melaka
• 1 sudu kecil garam
• 3 hingga 4 sudu besar minyak masak
• Daun pisang
Cara penyediaan pes:
• Kisar cili kering, cili merah, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, serai dan belacan hingga halus.
• Panaskan minyak, kemudian tumis bahan kisar dengan api sederhana.
• Masukkan udang kering, air asam jawa, gula Melaka dan garam.
• Masak selama 15 hingga 20 minit sehingga pes pekat, berkilat dan naik minyak.
• Lumurkan pes pada salmon dan balut dengan daun pisang (jika ada) untuk aroma lebih wangi.
• Bakar selama 15 hingga 20 minit pada suhu 200 darjah Celsius atau sehingga ikan masak.
Bahan-bahan sambal kicap:
• 1 ulas bawang merah (dipotong dadu)
• 1 ulas bawang putih (dicincang halus)
• 1 biji limau kasturi (diambil airnya)
• 1 biji buah tomato (dipotong dadu)
• 2 tangkai cili padi (dicincang halus)
• ½ sudu kecil garam
• 4 sudu besar kicap manis (ikut cita rasa sendiri)
• 3 sudu besar minyak masak
Cara penyediaan sambal kicap:
• Tumis bawang merah dan putih sehingga naik bau
• Kemudian campurkan bahan-bahan lain.
Tip:
• Jangan bakar salmon terlalu lama kerana isinya akan menjadi kering.
• Untuk rasa lebih pedas, tambahkan sedikit serbuk cili kering ke dalam perapan salmon.
• Pes ikan bakar boleh disimpan di dalam peti sejuk beberapa hari untuk digunakan lagi.





