KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja bersetuju mengundurkan tentera serta menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan, sekali gus menandakan permulaan baharu ke arah keamanan berkekalan antara kedua-dua negara jiran itu.
Persetujuan itu dimeterai menerusi perjanjian damai bersama yang ditandatangani di Kuala Lumpur semalam dalam satu majlis disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan masing-masing, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, serta rakan sejawatan dari Kemboja, Hun Manet, menzahirkan penghargaan kepada Trump dan Anwar berhubung peranan mereka sebagai pengantara proses damai.
Langkah itu turut membuka jalan kepada pembebasan baki 18 tahanan anggota tentera Kemboja, sebaik pengunduran senjata berat dan kerja pembersihan periuk api di kawasan sempadan dilaksanakan.
Manet menyifatkan pemeteraian tersebut sebagai ‘detik bersejarah penuh makna’ bagi kedua-dua negara.
“Hari ini (saya) menegaskan keyakinan untuk keamanan sentiasa boleh dicapai menerusi usaha yang berani dan bijaksana.
“Kami berpegang teguh pada prinsip setiap pertikaian mesti diselesaikan secara aman dan berlandaskan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri Kemboja itu menegaskan komitmen Phnom Penh bekerjasama dengan Thailand dan rakan lain bagi memastikan keamanan berkekalan serta membawa manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.
“Trump menunjukkan kepimpinan yang tegas dan komitmennya terhadap keamanan. Beliau bukan sahaja membantu menghentikan pertempuran, tetapi juga menyelamatkan nyawa,” katanya.
Anutin berkata, perjanjian membuktikan komitmen Thailand untuk menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta memastikan keselamatan penduduk di kedua-dua belah sempadan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Manet berhubung kerjasama dan sokongan yang membuka lembaran baharu perjanjian damai tersebut.
“Thailand turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan AS dalam peranan mereka untuk memudahkan proses rundingan serta kejayaan perjanjian bersejarah ini.
“Hanya dengan pelaksanaan sebenar di lapangan, kita dapat membuka lembaran baharu dan mencapai keamanan berkekalan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, beliau menyokong penglibatan AS dalam usaha perjanjian Kemboja dan Thailand.
“Saya merasa gembira dengan pendekatan tersebut dan kami memberikan sokongan penuh terhadap penglibatan AS dalam perjanjian perdamaian,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN–AS ke-13 berlangsung bersama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025, dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN





