WASHINGTON: Satu kajian yang dilakukan sekumpulan saintis mengesahkan bahawa Bulan kini sedang mengalami proses pengecutan dan terdapat rekahan baharu di permukaannya..
Sekumpulan saintis Pusat Pengajian Bumi dan Planetari, Muzium Udara dan Angkasa Lepas Kebangsaan, telah mendedahkan penemuan lebih 1,000 rekahan baharu yang sebelum ini tidak diketahui di permukaan bulan.
Menurut mereka, fenomena ini membuktikan bahawa Bulan sedang mengecut dan membentuk semula permukaannya.
Apa yang membimbangkan, penemuan ini memberi amaran bahawa angkasawan yang bakal mendiami Bulan pada masa hadapan mungkin berdepan risiko gempa yang dahsyat.
Ketua penulis kajian, Cole Nypaver menyifatkan penemuan ini sebagai satu lonjakan penting dalam sains Bulan.
“Program eksplorasi akan datang seperti Artemis (meneroka Bulan) bakal membekalkan maklumat yang amat berharga. Pemahaman lebih mendalam mengenai tektonik dan aktiviti seismik Bulan akan memberi manfaat secara langsung kepada keselamatan dan kejayaan misi tersebut,” katanya.
Sejak 2010, komuniti saintifik sedia maklum bahawa Bulan mengecut secara beransur-ansur akibat penyejukan bahagian dalamannya.
Ia menyebabkan permukaannya menguncup. Proses ini menghasilkan bentuk muka bumi unik yang dikenali sebagai ‘lobate scarps‘ atau cenuram lobat di kawasan tanah tinggi Bulan.
Struktur ini terbentuk apabila kerak bulan tertekan, sebelum menolak material ke atas kerak bersebelahan melalui sesar, sehingga membentuk permatang.
Bagaimanapun, dalam kajian terbaharu ini, penyelidik mengesan rekahan aneh di kawasan berbeza yang merupakan dataran gelap yang luas di permukaan Bulan. Rekahan ini dinamakan sebagai permatang mare kecil (SMR) atau struktur tektonik sempit yang masih muda secara geologi.
“Sejak era Apollo, kita tahu tentang kewujudan cenuram lobat di tanah tinggi Bulan, tetapi ini adalah kali pertama saintis-saintis mendokumentasikan kewujudan ciri serupa yang meluas di seluruh kawasan mare Bulan,” tambah Nypaver.
Secara keseluruhan, pasukan penyelidik menemui 1,114 unit SMR, menjadikan jumlah keseluruhan rekahan yang ditemui di Bulan mencecah 2,634 unit.
Dari sudut geologi, SMR ini dianggarkan berusia sekitar 124 juta tahun, manakala cenuram lobat pula berusia kira-kira 105 juta tahun.
Walaupun angka tersebut kedengaran lama, dalam skala masa astronomi, ia dikategorikan sebagai antara ciri geologi termuda yang pernah direkodkan di permukaan Bulan. – AGENSI






