WASHINGTON: Dokumen terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendedahkan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein pernah membuat sumbangan kepada tentera Israel dan membantu membiayai aktiviti penempatan haram Yahudi.
Agensi berita Anadolu, melaporkan semakan terhadap dokumen cukai yang difailkan pesalah tersebut pada 2005 menunjukkan pada 3 Mac, Epstein menyumbang AS$25,000 (RM98,301) kepada pertubuhan protentera Israel, Friends of the Israeli Defence Forces.
Beliau juga menyumbang AS$15,000 (RM58,981) kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jewish National Fund yang membiayai aktiviti peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, selain AS$5,000 (RM19,660) kepada pertubuhan NGO, National Council of Jewish Women.
Mesej melalui e-mel yang dihantar Epstein pada 20 Mei 2012 kepada individu tidak dinamakan turut mendedahkan beliau mendakwa Palestin tidak pernah wujud dari segi sejarah.
“Palestin tidak pernah menjadi sebuah negara Arab secara eksklusif, walaupun bahasa Arab secara beransur-ansur menjadi bahasa majoriti penduduk selepas penaklukan Islam pada abad ketujuh. Tiada negara Arab atau Palestin yang merdeka pernah wujud di Palestin,” tulis Epstein dalam mesej tersebut.
Dokumen baharu itu juga mendedahkan butiran berkaitan pengebumian Epstein, berdasarkan keterangan seorang individu tidak dinamakan dalam dokumen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bertarikh 12 Ogos 2012.
Individu tersebut berkata, wartawan diarahkan semasa pengebumian untuk mengikuti sebuah kenderaan yang membawa ‘keranda’ kosong.
Namun, mayat Epstein kemudian dibawa menggunakan kenderaan lain.
Pada 31 Januari tahun lalu, Timbalan Peguam Negara AS, Todd Blanche mengumumkan orang awam dibenarkan mengakses lebih tiga juta fail baharu sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan Epstein.
Mendiang yang merupakan seorang ahli perniagaan AS, dituduh mengendalikan rangkaian besar eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak bawah umur, sebahagiannya seawal usia 14 tahun. Beliau ditemui mati di sebuah penjara di New York pada 2019 ketika dalam tahanan.
Fail kes tersebut turut merangkumi nama ramai tokoh antarabangsa terkenal, termasuk Putera Andrew dari Britain; bekas Presiden AS, Bill Clinton; Presiden AS, Donald Trump; bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak; legenda pop, Michael Jackson serta bekas Gabenor New Mexico, Bill Richardson. – AGENSI






