ROM: Sebuah bandar di Itali kini sedang mencari sekumpulan ‘penghidu’ bagi mengenal pasti bau busuk dalam usaha untuk meningkatkan kualiti udara.
Datuk Bandar Brendola, Bruno Beltrame berkata, beliau memulakan kempen pengambilan enam ‘penilai bau’ selepas menerima aduan mengenai bau tidak menyenangkan daripada penduduk yang tinggal berhampiran zon perindustrian.
Syarat utama bagi peranan itu adalah pemohon tidak boleh menghidap alahan atau penyakit pernafasan seperti asma. Selain itu, mereka mestilah mempunyai kereta dan telefon pintar yang akan digunakan untuk merekod data bau pada aplikasi khas.
Mereka akan dibimbing oleh pekerja-pekerja sebuah firma pakar dalam pengukuran bau. Kumpulan penghidu tersebut itu akan dilatih dengan cara membezakan pelbagai jenis bau. Contohnya, mereka akan dilatih mengesan bau yang pada kebiasaannya dilepaskan dari kilang, sisa industri atau kumbahan.
Mereka kemudian akan ditugaskan untuk pergi ke kawasan sasaran bagi menjalankan penilaian bau. Jika bau yang tidak menyenangkan dikesan, mereka akan meluangkan masa menghidu udara tersebut sebelum merekodkan persepsi mereka.
Matlamat utama inisiatif yang dijangka berlangsung selama enam bulan itu adalah untuk mengesan punca asal bau berkenaan.
“Kami pernah menjalankan siasatan serupa kira-kira lima tahun lalu di kawasan perindustrian berhampiran punca bau busuk,” kata Beltrame.
“Hasilnya, kami berjaya mengenal pasti syarikat yang mengeluarkan bau tersebut. Kini kami meluaskan skop geografi untuk mengetahui sama ada syarikat yang sama telah kembali melepaskan bau busuk atau jika ada syarikat berbeza yang terlibat,” tambahnya.
Brendola ialah sebuah bandar kecil di wilayah utara Vicenza.
Vicenza terletak di Lembah Po, sebuah kawasan geografi luas yang merentasi wilayah Veneto, Piedmont, Lombardy dan Emilia-Romagna.
Lembah Po merupakan antara kawasan yang mempunyai tahap pencemaran udara terburuk di Eropah.
Beltrame menjelaskan bahawa perniagaan yang melanggar peraturan akan dikenakan denda berat. Beliau turut memuji penduduk Brendola yang berjumlah kira-kira 4,000 orang, kerana mereka kini lebih komited dalam melindungi alam sekitar.
“Jika dahulu mungkin agak cuai, (tetapi) ketika ini mereka lebih cenderung untuk meningkatkan kualiti hidup dan persekitaran. Apabila melihat sisa terbiar atau menghidu udara busuk, mereka akan melaporkannya. Kami gembira kerana ini membolehkan kami bertindak segera bagi mencegah malapetaka yang lebih buruk,” katanya. – AGENSI






