BOGOTA: Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera apabila sebuah pesawat tentera yang membawa 125 penumpang terhempas sejurus selepas berlepas pada Isnin di barat daya Colombia, menurut sumber tentera.
Seorang sumber tentera memberitahu AFP lewat Isnin, selepas pesawat yang membawa 125 orang itu terhempas sejurus selepas berlepas di selatan negara tersebut.
Menurutnya, nahas tersebut mengorbankan 58 anggota tentera, enam anggota tentera udara dan dua pegawai polis.
Setiausaha kerajaan tempatan, Carlos Claros, memberitahu televisyen RCN, usaha sedang dilakukan untuk memindahkan mereka. Terdahulu pada hari yang sama, pegawai mengesahkan lapan kematian dalam nahas tersebut.
Pesawat jenis Hercules itu terhempas tidak lama selepas berlepas dari Puerto Leguizamo, berhampiran sempadan selatan dengan Ecuador dan Peru, menyebabkan serpihan terbakar bertaburan di hutan.
Seorang sumber tentera sebelum ini memaklumkan bahawa seramai 80 orang mungkin telah terbunuh, di tengah-tengah laporan rasmi yang menyatakan kira-kira 40 mangsa terselamat telah ditemui.
Kawasan sempadan yang bergolak itu telah menjadi lokasi aktiviti ketenteraan yang intensif sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketika tentera Colombia dan Ecuador berusaha membanteras kartel pengedaran dadah serta kumpulan militia.
Kerajaan Ecuador dan Venezuela yang juga merupakan negara jiran Colombia telah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas tersebut.
Imej AFP dari lokasi kejadian menunjukkan beberapa orang awam memanjat bahagian ekor pesawat yang rosak, bertanda FAC 1016, ketika asap dan api berkepul-kepul.
Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez, menyatakan dukacita yang mendalam terhadap bencana itu ketika anggota tentera menuju ke lokasi terpencil tersebut.
“Ia adalah satu peristiwa yang amat menyedihkan bagi negara.,” kata Sanchez.
Beliau menambah bahawa masih terlalu awal untuk menentukan punca tragedi tersebut.
Komander Tentera Udara Colombia, Jeneral Carlos Fernando Silva Rueda berkata, seramai 114 anggota tentera dan 11 kru berada di dalam pesawat itu.
Mereka sedang dalam perjalanan antara Puerto Leguizamo dan sebuah lagi pos terpencil di kawasan Amazon berhampiran.
“Lapangan terbang itu kecil dan terdapat beberapa kesukaran berkaitan pemindahan mayat serta mangsa yang cedera,” kata Gabenor wilayah Putumayo, Molina dalam satu video yang dimuat naik ke laman Facebook. – AFP






