KLANG: Seorang lelaki warga emas bersama anak saudaranya maut selepas rumah kedai tempat tinggal mereka terbakar dekat Jalan Batu Unjur, Taman Bayu Perdana, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, ketika kejadian terdapat empat mangsa di tingkat dua bangunan tiga tingkat tersebut dan dua daripadanya dilaporkan terperangkap di dalam tandas berasingan.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.51 petang sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan dibantu oleh BBP Andalas.
“Komander operasi melaporkan, kebakaran melibatkan rumah kedai tiga tingkat bangunan kelas A terbakar di tingkat dua berkeluasa 1,400 kaki persegi yang terbakar 90 peratus.
“(Ketika) Api sedang marak, dipercayai terdapat dua orang mangsa terperangkap iaitu seorang lelaki berusia 66 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun. Sementara dua lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau menambah, kebakaran berjaya dipadam kira-kira pukul 6.30 petang, sementara dua mangsa diselamatkan oleh orang awam pada pukul 6.33 petang.
“Namun, dua lagi mangsa dijumpai dalam dua tandas berasingan. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” jelasnya.
Kata Ashrul Riezal lagi, mangsa yang terselamat dilapor mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan, sementara mayat warga emas dan kanak-kanak itu pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seramai 18 orang pegawai dan anggota terlibat dalam operasi pemadaman tersebut yang dibantu oleh dua unit Fire Rescue Tender (FRT), dua tangki air dan satu unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan JBPM Selangor.
Jelasnya lagi, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 10.05 malam, tadi.
“Seterusnya pasukan forensik JBPM terus menjalankan Siasatan awal bersama unit K9 JBPM. Premis diserahkan kepada forensik kebakaran JBPM untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN






