WASHINGTON: Sekumpulan paleontologi telah mengumumkan penemuan spesies baharu Spinosaurus iaitu dinosaur pemakan daging gergasi yang saiznya didakwa mampu menyaingi T. rex.
Spesies baharu yang dinamakan Spinosaurus mirabilis ini dikesan hidup antara 95 hingga 100 juta tahun dahulu. Fosilnya ditemukan di kawasan terpencil bernama Jenguebi yang terletak di tengah Gurun Sahara, dalam wilayah negara Niger.
Penemuan yang diperincikan dalam jurnal Science merupakan hasil usaha bertahun-tahun di mana penyelidik-penyelidik menemui serpihan rahang pada 2019, disusuli dengan penemuan dua lagi bahagian jambul atau struktur tulang yang menonjol di bahagian atas tengkorak dinosaur tersebut pada 2022.
Dinosaur Spinosaurus mirabilis merupakan pemangsa air cetek yang memburu ikan sebagai makanan utama, walaupun habitat asalnya terletak kira-kira 965 kilometer ke kawasan daratan dari Laut Tethys purba.
Penyelidik percaya jambul dinosaur itu mempunyai warna yang terang dan dilitupi dengan keratin (bahan yang sama pada kuku dan rambut).
Ketua kajian, Profesor Paul Sereno dari Universiti Chicago, menyifatkan dinosaur ini sebagai sejenis hell heron iaitu nama samaran (gelaran popular) bagi dinosaur Spinosaurus.
“Dinosaur ini tidak mempunyai masalah untuk meredah air setinggi dua meter menggunakan kakinya yang sasa. Namun, ia berkemungkinan besar menghabiskan banyak masa menghendap mangsa di kawasan air lebih cetek untuk memburu pelbagai spesies ikan besar pada zaman itu,” jelas profesor tersebut seperti yang dilaporkan agensi berita SWNS.
Menariknya, Sereno mendapat petunjuk mengenai lokasi tersebut daripada monograf seorang ahli geologi Perancis yang pernah menerangkan tentang penemuan sebutir gigi fosil yang menyerupai pemangsa tersebut.
Dengan bantuan penduduk tempatan, beliau dan pasukannya berjaya menjejaki semula kawasan fosil itu sehingga menemukan bahagian gigi serta tulang rahang yang lain.
“Tiada sesiapa pun yang kembali ke lokasi penemuan gigi itu selama lebih 70 tahun.
“Ia merupakan satu pengembaraan yang luar biasa, meredah lautan pasir untuk mencari lokasi ini dan akhirnya menemui tapak fosil yang lebih terpencil dengan spesies baharu ini,” katanya.
Sereno menyifatkan penemuan tersebut sebagai sesuatu yang sangat mengejutkan dan menakjubkan. – AGENSI






