WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka menarik balik kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford dari Asia Barat selepas ditempatkan selama 10 bulan, menurut satu laporan.
Akhbar The Washington Post memetik beberapa pegawai AS pada Rabu, mengesahkan bahawa kapal itu akan memulakan pelayaran pulang dalam beberapa hari akan datang.
Tarikh tepat kapal itu bertolak masih belum jelas.
Namun, laporan tersebut memetik seorang pegawai berkata, kapal itu dijangka tiba di negeri Virginia sekitar pertengahan Mei.
USS Gerald R. Ford merupakan salah sebuah daripada tiga kapal pengangkut pesawat di rantau itu.
Dua lagi kapal pengangkut pesawat ialah USS George H.W. Bush dan USS Abraham Lincoln.
Kapal Gerald R. Ford, yang membawa kira-kira 4,500 anggota tentera laut, berada di Laut Merah dan tidak terlibat dalam sekatan AS ke atas pelabuhan Iran.
Ia dilaporkan akan memerlukan penyelenggaraan besar selepas pulang akibat beberapa masalah berulang dan kerosakan pada bilik dobi.
Kapal induk itu memainkan peranan besar dalam kempen serangan udara AS-Israel terhadap Iran, tetapi kemudian belayar ke Crete dan seterusnya ke Croatia selepas satu kebakaran di bilik dobi berlaku pada 12 Mac.
Kebakaran itu mencederakan dua kelasi dan menyebabkan kerosakan besar pada kira-kira 100 katil, menurut tentera AS.
Pengunduran USS Gerald R. Ford daripada operasi berkaitan Iran telah mewujudkan kekosongan dalam kekuatan tentera AS di rantau itu. – AGENSI/AFP






