TEHERAN: Iran pada Jumaat mengisytiharkan bahawa Selat Hormuz dibuka sepenuhnya untuk trafik komersial sepanjang tempoh gencatan senjata antara Israel dan Lubnan, kata Menteri Luarnya, Seyed Abbas Araghchi.
“Sejajar dengan gencatan senjata di Lubnan, laluan untuk semua kapal komersial melalui Selat Hormuz diisytiharkan dibuka sepenuhnya bagi baki tempoh gencatan senjata,” kata Araghchi dalam satu hantaran di media sosial.
Namun, kapal-kapal perlu melalui laluan yang diselaraskan seperti yang diumumkan oleh pihak berkuasa maritim Iran, tambah beliau.
Israel dan Lubnan pada Khamis bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama 10 hari bermula pukul 5 petang waktu Amerika Syarikat (AS) pada hari tersebut.
Kempen ketenteraan Israel di Lubnan terhadap kumpulan Hizbollah yang merupakan sekutu rapat Iran, menjadi antara isu utama dalam rundingan antara Washington dan Teheran.
Pengisytiharan Araghchi itu meningkatkan harapan untuk rundingan damai lanjut yang akan diadakan antara AS dan Iran di Islamabad, Pakistan.
Presiden AS, Donald Trump bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu pada 7 April sebagai pertukaran untuk Iran membuka sepenuhnya Selat Hormuz.
Namun, Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf menuduh Amerika melanggar perjanjian itu dengan membenarkan Israel meneruskan kempen ketenteraannya di Lubnan.
Selat tersebut kekal hampir sepenuhnya ditutup sepanjang gencatan senjata AS-Iran kerana kedua-dua negara bertelagah mengenai syarat perjanjian. Hanya beberapa kapal komersial melalui laluan itu setiap hari.
Rundingan antara Naib Presiden AS, JD Vance dan Ghalibaf hujung minggu lalu di Pakistan gagal menghasilkan perjanjian untuk menamatkan perang AS dengan Iran secara kekal.
Trump berkata, perunding AS dan Iran mungkin bertemu semula hujung minggu ini di Pakistan untuk pusingan kedua rundingan.
Selat itu ditutup sejak 28 Februari oleh Iran selepas negara itu diserang oleh AS dan Israel. – AGENSI/AFP






