TEHERAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei berkata pada Isnin bahawa tempoh 60 hari untuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan memorandum persefahaman (MoU) pada 17 Jun sudah tidak lagi relevan selepas apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan oleh Washington.
“Tiada peruntukan dalam MoU yang merujuk kepada tempoh 60 hari dan Republik Islam Iran tidak pernah merangka dasar berdasarkan tekanan, kata dua atau had masa,” kata Baqaei kepada pemberita pada sidang media mingguan, seperti dipetik agensi berita separa rasmi Tasnim.
Sebaliknya, memorandum itu menetapkan tempoh 60 hari untuk rundingan mengenai dua perkara iaitu penghapusan sekatan dan isu nuklear yang boleh dilanjutkan sekiranya tiada persetujuan dicapai, katanya.
“Oleh sebab Amerika tmelakukan pelanggaran terang-terangan dan meluas terhadap MoU tersebut, tiada dialog dimulakan hanya beberapa minggu selepas ia ditandatangani,” kata Baqaei.
“Justeru, perbincangan mengenai tempoh 60 hari itu sudah tidak lagi relevan,” tambahnya.
Sementara itu, CNN melaporkan tempoh 60 hari yang diberikan kepada AS dan Iran untuk mencapai persetujuan ke arah menamatkan perang telah berakhir.
Menurut CBS News, Isnin menandakan genap 60 hari AS dan Iran menandatangani MoU yang menetapkan supaya perjanjian damai yang lebih menyeluruh dirundingkan dalam tempoh tersebut.
Selepas beberapa kali pertempuran tercetus semula dan munculnya kenyataan bahawa perjanjian hampir dicapai, belum kelihatan sebarang rancangan konkrit untuk menamatkan perang yang telah berlarutan selama 24 minggu itu – AGENSI






