TEL AVIV: Sebuah mahkamah Israel pada Ahad melanjutkan penahanan selama dua hari terhadap dua aktivis asing daripada flotila menuju ke Gaza, menurut kumpulan hak asasi yang mewakili mereka.
Mereka sebelum ini telah dibawa ke Israel untuk disoal siasat, kata kumpulan tersebut.
Flotila yang terdiri daripada lebih 50 kapal itu belayar dari Perancis, Sepanyol dan Itali untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza serta membawa bekalan ke wilayah Palestin yang musnah akibat perang itu.
Ia dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece awal Khamis lalu dengan Israel berkata, kira-kira 175 aktivis telah ditahan.
Dua daripadanya dibawa ke Israel untuk disoal siasat.
Warganegara Sepanyol, Saif Abu Keshek dan rakyat Brazil, Thiago Avila, hadir di mahkamah di bandar selatan Ashkelon.
Rakaman video AFP menunjukkan kedua-duanya diiring masuk ke bilik mahkamah dengan Avila berjalan sambil tangannya di belakang badan manakala kaki Abu Keshek dirantai.
“Mahkamah melanjutkan penahanan mereka selama dua hari,” kata Miriam Azem, penyelaras advokasi antarabangsa di kumpulan hak asasi Adalah kepada AFP.
Adalah berkata, peguam negara Israel mengemukakan senarai kesalahan yang disyaki dilakukan pasangan itu, termasuk membantu musuh ketika perang dan menjadi anggota serta memberikan perkhidmatan kepada organisasi pengganas.
Namun, peguam Adalah mencabar bidang kuasa Israel dengan berhujah bahawa kedua-dua aktivis itu diculik secara haram di perairan antarabangsa.
Peguam mereka memberitahu mahkamah bahawa Avila dan Abu Keshek memberi keterangan mengenai penderaan fizikal serius sehingga boleh dianggap penyeksaan, termasuk dipukul dan ditahan dalam pengasingan serta ditutup mata selama beberapa hari di laut.
Kementerian Luar Israel menolak dakwaan bahawa kedua-dua lelaki itu mengalami keganasan fizikal.
“Bertentangan dengan dakwaan palsu dan tidak berasas yang disediakan lebih awal, Saif Abu Keshek dan Thiago Ávila sama sekali tidak pernah diseksa,” kata jurucakap kementerian itu, Oren Marmorstein kepada AFP.
“Susulan halangan fizikal ganas oleh Saif Abu Keshek dan Thiago Ávila terhadap anggota kakitangan Israel, pihak berkuasa terpaksa bertindak untuk menghentikan tindakan tersebut. Semua langkah yang diambil adalah mengikut undang-undang,” tambahnya.
Sementara itu, Adalah berkata, tiada pertuduhan rasmi dikenakan terhadap kedua-duanya.
“Kami berhujah bahawa mereka adalah sebahagian daripada misi kemanusiaan yang bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza dan bukannya kepada mana-mana organisasi lain, sama ada pengganas atau tidak,” kata peguam, Hadeel Abu Salih kepada wartawan selepas prosiding mahkamah.
“Kami menafikan semua tuduhan yang dikemukakan dan menuntut kedua-dua lelaki ini dibebaskan segera,” tambahnya.
Kerajaan Sepanyol turut menggesa pembebasan segera Abu Keshek, menurut kenyataan kementerian luar negara itu kepada AFP. – AFP





