KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membawa sebilah parang bagi tujuan cuba menyebabkan kecederaan terhadap jirannya, Selasa lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Al-Ammar Nordin, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membawa sebilah parang berhulu kayu berukuran 48 sentimeter (cm) bertujuan cuba menyebabkan kecederaan terhadap jirannya berusia 53 tahun di sebuah unit kediaman di Salak Selatan, Cheras pada pukul 12.01 tengah malam, 11 Ogos 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Nicholas Cheoh memohon ikat jamin rendah dengan mengambil kira keadaan keluarga anak guamnya yang kurang berkemampuan.
“Ayah (tertuduh) yang merupakan pesara warga emas mempunyai sakit tiga serangkai selain ibunya yang juga suri rumah. Mereka adalah golongan asnaf fakir di mana mereka hanya menerima bantuan.
“Sekiranya mahkamah berhasrat untuk mengenakan jaminan, kami mencadangkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan,” katanya.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 September ini bagi serahan dokumen. – UTUSAN





