NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Ahad menggesa rakyat India mengurangkan penggunaan petrol dan diesel susulan gangguan bekalan minyak akibat perang di Asia Barat.
India merupakan antara beberapa negara di rantau itu yang belum menaikkan harga petrol dan diesel untuk pengguna domestik atau mencatu bekalan.
Namun, negara itu telah menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG), bahan api utama untuk memasak di negara tersebut.
Kenaikan itu dibuat selepas gangguan susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran yang menyebabkan sekatan hampir menyeluruh Iran di Selat Hormuz yang strategik.
“Kita perlu mengurangkan penggunaan petrol dan diesel. Di bandar yang mempunyai laluan metro (pengangkutan awam guna tenaga elektrik), kita perlu cuba menggunakan metro.
“Jika perlu menggunakan kereta, kita harus cuba berkongsi kenderaan,” kata Modi ketika berucap pada satu perhimpunan di negeri Telangana, selatan India, pada Ahad.
Beliau menambah bahawa sekatan penggunaan juga perlu bagi menjimatkan pertukaran asing yang dibelanjakan untuk import bahan api.
“Kita juga mesti memberi penekanan kuat kepada penjimatan pertukaran asing kerana petrol dan diesel kini menjadi sangat mahal di peringkat global,” tambahnya.
Modi turut menggesa rakyat supaya kembali mengamalkan langkah penjimatan tenaga yang pernah dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.
“Kita perlu kembali mengutamakan bekerja dari rumah, persidangan dalam talian dan mesyuarat maya,” katanya.
Menteri Petroleum dan Gas Asli India, Hardeep Singh Puri, berkata syarikat pemasaran minyak (OMC) terjejas dari segi pendapatan ketika memastikan import dan bekalan tenaga tidak terganggu.
“OMC membeli minyak mentah, gas dan LPG pada kos lebih tinggi, tetapi demi melindungi pengguna, mereka menjual produk akhir pada harga lebih rendah, menyebabkan kerugian besar yang mencecah sehingga 1,000 crore rupee (RM470 juta) sehari,” kata Puri di X pada Ahad. – AFP






