BANDAR GAZA: Pegawai kesihatan Gaza berkata bahawa serangan Israel pada Sabtu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk empat anggota daripada keluarga yang sama, dalam keganasan terbaharu yang melanda wilayah Palestin itu walaupun gencatan senjata masih berkuatkuasa.
Israel dan Hamas terus saling menuduh hampir setiap hari mengenai pelanggaran gencatan, manakala Semenanjung Gaza kekal dilanda pertumpahan darah ketika usaha untuk menamatkan perang secara kekal masih menemui jalan buntu.
Satu serangan udara Israel pada waktu malam ke atas sebuah bangunan pangsapuri di kawasan Sabra, Bandar Gaza, membunuh empat anggota keluarga Al-Safadi, termasuk suami, isteri dan dua anak perempuan mereka, menurut agensi pertahanan awam, sebuah perkhidmatan penyelamat yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas.
Agensi itu berkata, serangan tersebut turut mencederakan 12 orang lain.
Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza mengesahkan menerima mayat empat anggota keluarga Safadi, termasuk dua kanak-kanak.
“Kira-kira jam 2 pagi, sepupu saya sedang tidur apabila peluru berpandu mengenai mereka. Mereka tiada kaitan dengan Hamas, juga tidak terlibat dalam apa-apa. Mereka hanyalah kanak-kanak yang tidak bersalah,” kata Nael al-Safadi, seorang saudara.
Rakaman AFP dari lokasi kejadian menunjukkan dinding luar pangsapuri itu musnah, mendedahkan runtuhan, pakaian, tilam dan barangan rumah yang berselerakan di dalam ruang yang rosak teruk.
“Demi Tuhan, saya masih rasa seperti bermimpi, saya tidak sangka ini akan berlaku kepada kami,” kata Mohammad al-Safadi, yang terselamat daripada serangan itu kepada AFP.
“Saya orang awam. Saya bersumpah saya tidak pernah mengangkat senjata atau melepaskan tembakan. Apa yang kamu mahu daripada saya? Pergilah kepada siapa yang kamu mahu kejar, apa salah saya?”
Hospital Al-Shifa turut berkata ia menerima satu mayat selepas satu serangan dron berasingan berhampiran persimpangan di utara Bandar Gaza.
Kemudian pada Sabtu, enam lagi orang terbunuh dalam beberapa serangan Israel yang berasingan, termasuk tiga orang apabila sebuah pesawat Israel menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Bureij di tengah Gaza, menurut agensi pertahanan awam.
Agensi itu berkata, tiga mangsa yang terbunuh termasuk seorang wartawan Palestin tempatan yang bekerja dengan Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar.
Ahmed Wishah ialah seorang jurukamera bagi saluran tersebut, menurut rangkaian itu, yang mengutuk berterusannya jenayah ini terhadap wartawannya.
Namun, tentera Israel berkata beliau adalah seorang anggota Hamas..
Tentera Israel tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen mengenai kematian lain yang disahkan oleh hospital di Gaza.
Sekurang-kurangnya 1,012 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu, menurut kementerian kesihatan wilayah itu yang berada di bawah pentadbiran Hamas dan angka mereka dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Tentera Israel melaporkan lima anggotanya terbunuh dalam tempoh yang sama.
Sekatan terhadap media serta akses yang terhad di Gaza menghalang AFP daripada mengesahkan secara bebas angka korban atau membuat liputan penuh terhadap keganasan di wilayah itu. – AFP






