GENEVA: Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada Isnin bersetuju mewujudkan satu saluran komunikasi bagi memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz kekal dibuka dengan selamat dan mengelakkan sebarang insiden salah faham selepas wakil kedua-dua negara meneruskan rundingan untuk hari kedua di Switzerland.
Negara pengantara, Qatar dan Pakistan memuji apa yang disifatkan sebagai kemajuan yang menggalakkan selain memaklumkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai satu pelan hala tuju ke arah perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, dengan rundingan teknikal akan diteruskan sepanjang minggu ini di pusat peranginan Burgenstock.
Mereka turut memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan sebuah sel penyelarasan konflik bagi memastikan penamatan operasi ketenteraan di Lubnan dan mengelakkan pertempuran daripada tercetus semula.
“Pengantara Pakistan dan Qatar yang bekerja tanpa mengenal penat lelah telah menghasilkan kemajuan besar ke arah menamatkan perang di Lubnan,” kata Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menerusi hantaran di platform X ketika berkongsi semula kenyataan tersebut.
Beliau berkata, eksport minyak dan petrokimia Iran akan dikecualikan daripada sekatan,. Katanya, sekatan perdagangan ditarik balik. sebahagian aset beku dibebaskan, selain pelan pembangunan dan pembinaan semula berskala besar dilancarkan untuk Iran.
“Ujian sebenar pertama ialah sel penyelarasan konflik Lubnan,” katanya.
Seorang diplomat kanan AS turut mengesahkan kemajuan dicapai dalam beberapa aspek, termasuk pembentukan mekanisme untuk memastikan Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dunia itu terus dibuka.
Selat itu pada mulanya ditutup oleh Iran apabila AS dan Israel menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga menyebabkan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh. Ia kemudian dibuka tetapi ditutup semula.
Dalam rundingan damai itu, delegasi AS diketuai Naib Presiden JD Vance; utusan khas, Steve Witkoff selain menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, manakala Iran diwakili Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Araghchi.
Tiada reaksi segera daripada perunding AS, namun harga minyak mentah menurun manakala kebanyakan pasaran saham Asia meningkat apabila laporan kemajuan itu mencetuskan keyakinan pelabur.
Hari pertama rundingan pada Ahad hampir terganggu susulan kenyataan Trump kepada media dan beberapa hantaran di Truth Social yang menyinggung pihak Iran.
Menurut media kerajaan Iran, rundingan kemudian digantung sementara susulan penyiaran mesej menghina oleh Presiden AS, menyebabkan delegasi Teheran meninggalkan lokasi rundingan.
Perjanjian sementara bagi menamatkan konflik Iran yang ditandatangani minggu lalu menetapkan tempoh 60 hari kepada perunding untuk menamatkan perang Asia Barat itu. – AGENSI






