MIAMI: Pusat tahanan imigresen kontroversi ‘Alligator Alcatraz’, sebuah kemudahan di Florida yang menelan kos tinggi dan menjadi simbol kempen pengusiran pendatang tanpa izin oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ditutup selepas beroperasi kurang setahun, menurut pegawai pada Khamis.
Gabenor Florida, Ron DeSantis ketika melawat tapak terpencil di Everglades bersama penyelaras keselamatan sempadan Rumah Putih, Tom Homan berkata, kemudahan itu tidak lagi menempatkan mana-mana tahanan dan telah memenuhi peranan kecemasan yang menjadi tujuan pembinaannya.
Kemudahan itu menerima kecaman hebat daripada peguam, ahli keluarga tahanan, pertubuhan hak sivil dan aktivis hak asasi manusia yang menuduh kerajaan menahan individu dalam keadaan yang teruk serta tidak memberi mereka proses perundangan yang sewajarnya.
“’Alligator Alcatraz’ telah memenuhi peranan yang direka untuknya,” kata DeSantis dan menambah bahawa pusat itu membantu mengusir ramai individu berbahaya dari Florida dan AS.
Pusat tahanan itu dibina hanya dalam tempoh lapan hari pada Jun tahun lalu. Ia dilengkapi katil dua tingkat, kurungan dawai dan khemah putih bersaiz besar di sebuah lapangan terbang terbiar di Everglades yang menjadi habitat kepada sejumlah besar aligator.
Trump, yang berikrar mengusir jutaan pendatang tanpa izin, melawat pusat tahanan itu selepas ia dibuka pada Julai 2025. Ketika lawatan tersebut, beliau secara berseloroh berkata, reptilia pemangsa di kawasan itu akan bertindak sebagai pengawal.
DeSantis berkata pada Mei lalu bahawa lebih 22,000 individu telah diproses atau ditempatkan sementara untuk tujuan pengusiran melalui pusat itu.
Pegawai berkata, tahanan terakhir sama ada telah dipindahkan ke pusat lain atau dihantar pulang. Pihak berkuasa persekutuan dan negeri sebelum ini menjelaskan pemindahan itu sebagai langkah keselamatan berikutan permulaan musim taufan. – AFP






