PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan hanya dua syarikat penerbangan dilaporkan berdepan masalah sistem bagi memproses pasport Malaysia yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, isu berkenaan bukan melibatkan penerimaan pasport Malaysia oleh negara luar, sebaliknya berpunca daripada sistem yang digunakan sesetengah syarikat penerbangan.
“Setakat ini hanya dua syarikat penerbangan yang ada masalah.
Tetapi saya tidak pasti kalau ada yang lain yang kita belum dapat maklumat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, pihaknya tidak menyalahkan syarikat penerbangan kerana sistem berkenaan digunakan secara global, dan terdapat syarikat penerbangan lain yang tidak menghadapi sebarang masalah ketika memproses pasport melebihi tempoh 10 tahun.
Jelasnya lagi, pelaksanaan pasport Malaysia tempoh sah laku 10 tahun tetap diteruskan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.
“Ketika ini, pasport yang hanya mempunyai tambahan tempoh melebihi 10 tahun sahaja dihentikan seketika berikutan masalah pada sistem syarikat penerbangan.
“Tambahan tempoh sehingga enam bulan sebelum ini diberikan kepada pemohon yang masih mempunyai baki tempoh sah laku pasport lama melebihi enam bulan ketika membuat pembaharuan.
“Apa yang kita hentikan ialah tambahan tempoh melebihi 10 tahun itu. Maksudnya di sini, ada pembaharuan pasport yang untuk 10 tahun kita bagi tambahan enam bulan.
“Kita mengambil kira baki pasport mereka yang sebelum dia tukar itu melebihi enam bulan. Jadi supaya tidak merugikan rakyat Malaysia yang ada baki banyak lagi itu, kita bagilah tambahan enam bulan,” katanya. – UTUSAN






