BEIRUT: Hizbullah menegaskan haknya untuk mempertahankan diri susulan beberapa serangan Israel di selatan Lubnan.
Kumpulan itu berhak berbuat demikian meskipun terdapat gencatan senjata antara kedua-dua pihak dan perjanjian rangka kerja tiga hala yang turut melibatkan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik.
Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan itu berkata, tindakan Israel merupakan pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata yang didakwa dipatuhinya sehingga kini.
Ia menambah pihaknya sedang memantau dan menjejaki pelanggaran tersebut serta mengekalkan haknya untuk mempertahankan tanah air termasuk rakyatnya.
Kelmarin, tentera Israel memusnahkan sebuah terowong besar di selatan Lubnan. Media rasmi Lubnan melaporkan beberapa serangan berlaku di kawasan itu. Hizbullah yang disokong Iran berkata, ia berhak untuk bertindak balas terhadap serangan tersebut.
Insiden itu berlaku meskipun terdapat rangka kerja perjanjian tiga pihak yang ditandatangani oleh Lubnan dan Israel. Rangka kerja itu berada di bawah tajaan AS bagi membuka jalan ke arah perdamaian antara kedua-dua negara dan pelucutan senjata Hizbullah yang disokong Iran.
Agensi berita rasmi Lubnan (NNA) melaporkan beberapa serangan pada Ahad, termasuk di bandar selatan Nabatieh. Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, dua orang cedera akibat bom yang dilepaskan Israel di selatan negara itu.
“Terowong tersebut yang memanjang lebih 200 meter dan mencapai kedalaman lebih 25 meter. Ia mengandungi ratusan senjata selain beberapa batang pelancar (dibina) bertujuan menyerang Israel termasuk orang awamnya,” kata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz dalam satu kenyataan bersama.
“Israel telah memaklumkan kepada Amerika Syarikat dan wakil AS di Lubnan terlebih dahulu mengenai pemusnahan infrastruktur itu,” tambah kenyataan tersebut.
Seorang wartawan AFP di bandar pesisir Tyre, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi letupan berhampiran kampung Majdal Zoun, melihat asap menjulang ke angkasa.
Beliau berkata, penduduk di bandar-bandar di selatan Tyre meninggalkan kawasan itu selepas mendengar laporan di media Lubnan bahawa Israel mungkin akan meletupkan kawasan berhampiran.
Sebagai tindak balas terhadap serangan pada Ahad itu, Hizbullah berkata, ia menegaskan semula apa yang dilakukan oleh pihak musuh merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap gencatan senjata. Kumpulan itu sedang memantau dan menjejaki pelanggaran tersebut selain mengekalkan haknya untuk mempertahankan tanah air. – AGENSI






