WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akhirnya ‘tunduk’ kepada pendirian Israel apabila bersetuju pembinaan semula Gaza hanya boleh dimulakan selepas Hamas melucutkan senjata sepenuhnya.
Utusan Khas AS, Jared Kushner berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump mempunyai rancangan untuk membina semula Gaza, tetapi proses itu hanya akan dimulakan selepas Hamas menyerahkan senjatanya.
“Kami mempunyai rancangan untuk membina semula Gaza, tetapi kami tidak akan membenarkan Gaza dibina semula sehingga proses pelucutan senjata berlaku.
“Tiada siapa yang mahu melabur wang ke tempat yang berlarutan dalam keadaan demikian jika kawasan itu diambil alih (kumpulan pejuang Palestin) atau dimusnahkan sekali lagi,” kata Kushner, yang juga menantu Trump, dalam temu bual bersama Fox News.
Kushner, yang turut mempunyai hubungan peribadi rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut menegaskan AS tidak akan menyekat hak Israel untuk mempertahankan dirinya jika berdepan ancaman.
Kenyataan itu dibuat selepas Kushner mengadakan pertemuan dengan Netanyahu kelmarin, tetapi rundingan berkenaan tidak menghasilkan perkembangan besar dalam usaha melaksanakan pelan hala tuju Gaza yang sebelum ini dipersetujui Hamas.
Hamas bersetuju untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada proses yang disokong AS, termasuk pengunduran tenteran Israel dan penamatan serangan ke atas Gaza.
Bagaimanapun, Israel menolak cadangan tersebut awal bulan ini dengan menegaskan sebarang konsesi hanya akan dibuat selepas kumpulan Palestin itu melucutkan senjata.
Pada masa sama, Kushner turut menegaskan perjanjian Gaza memberi manfaat kepada Israel, dengan mendakwa penyerahan senjata dan terowong Hamas secara sukarela dalam tempoh 60 hingga 90 hari akan menghapuskan ancaman keselamatan besar terhadap rejim Zionis.
“Jika mereka (Hamas) gagal memenuhi komitmennya sekarang, semua pihak akan melihat mereka tidak ikhlas mahukan keamanan, dan Israel akan mendapat lebih banyak sokongan dari AS serta pihak lain untuk meneruskan usaha menamatkan konflik dengan cara sewajarnya,” katanya.
Kushner juga mengadakan pertemuan yang jarang berlaku dengan pegawai Hamas pada Ahad ketika AS berusaha mengakhiri konflik.
Beliau berkata, rundingan tersebut berlangsung dalam suasana ‘sangat baik’ tetapi Washington akan menilai Hamas berdasarkan tindakan kumpulan itu.
Dalam tempoh tiga tahun lalu, AS menyalurkan kira-kira AS$25 bilion (RM101 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Israel dan mempertahankan kerajaan Netanyahu di forum antarabangsa, termasuk mengenakan sekatan terhadap pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menyiasat kekejaman di Gaza.






