TEHERAN: Iran memberi tempoh beberapa minggu kepada Amerika Syarikat (AS) untuk memenuhi tuntutannya atau berdepan peningkatan operasi ketenteraan dengan melakukan serangan, menurut Reuters yang memetik seorang pegawai kanan Teheran.
Jika AS gagal memenuhi tempoh tersebut dan usaha diplomasi menemui jalan buntu, Teheran akan melancarkan serangan ketenteraan yang tepat pada sasarannya untuk mematahkan sekatan tentera laut Amerika terhadap Republik Islam itu, tambah pegawai berkenaan.
Usaha diplomatik untuk membawa Teheran dan Washington kembali ke meja rundingan berdasarkan perjanjian yang dicapai pada Jun telah menemui jalan buntu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Teheran menuntut AS$300 bilion (RM1.2 trilion) bagi dana pembinaan semula, pembebasan aset Iran yang dibekukan, penamatan sekatan tentera laut AS, penamatan perang di semua medan termasuk Lubnan dan penyelesaian kekal berhubung Selat Hormuz.
Selat Hormuz kekal menjadi pusat krisis yang bermula apabila AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Susulan rentetan itu, trafik kapal tangki merosot dengan ketara, dengan hanya lima kapal melintasinya pada Sabtu. Tiada satu pun kapal melalui selat itu pada Ahad, berbanding 31 buah pada hujung minggu sebelumnya.
AS pada mulanya menyekat pelabuhan-pelabuhan Iran dari 13 April hingga 29 Mei selepas rundingan damai dengan Iran menemui kegagalan.
Selepas pertempuran kembali tercetus dan beberapa perjanjian berkaitan Selat Hormuz menemui jalan buntu, tentera AS menyambung semula serta memperluas sekatan laut terhadap pelabuhan Iran pada 14 Julai yang masih berterusan sehingga kini.
Sementara itu, di Laut Merah, kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran mendakwa telah menyerang kapal-kapal Arab Saudi di luar pantai Mocha.
Menyentuh perkara sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Selat Hormuz tidak akan dibuka semula sehingga AS terlebih dahulu kembali kepada perjanjian itu. Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent turut memberi amaran mengenai pengasingan ekonomi yang belum pernah berlaku terhadap Iran.
“Dalam tempoh singkat beberapa minggu yang ditetapkan Iran, semua peruntukan perjanjian mesti dilaksanakan oleh AS. Ini merupakan prasyarat bagi rundingan selanjutnya dengan Washington,” kata pegawai itu kepada Reuters.
Menurutnya, pihak pengantara akan menyampaikan butiran mengenai tempoh akhir yang ditetapkan Teheran kepada Washington dan negara-negara serantau.
“Entiti Iran mesti bersedia untuk meningkatkan ketegangan di Selat Hormuz dan kawasan lebih luas, kerana Iran bersedia membuat keputusan serta mengambil tindakan berhubung keputusan yang sukar,” katanya.
Pegawai Iran itu berkata, Teheran kini mengubah dasarnya daripada bertahan kepada menyerang setelah semakin hilang keyakinan terhadap manfaat diplomasi dengan Washington.
“Sudah terbukti AS tidak serius mengenai gencatan senjata dan tidak akan berpegang kepada sebarang komitmen, jadi memberi tekanan kepada musuh atau bergantung kepada pengantara dengan harapan mencapai gencatan senjata kekal adalah tidak realistik,” katanya.
Iran juga sedang berunding secara berasingan dengan Oman mengenai perjanjian untuk menguruskan selat berkenaan dan berkata, kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan.
Bagaimanapun, Trump bertindak balas terhadap rundingan itu dengan mengugut akan mengebom negara Teluk berkenaan, yang merupakan rakan keselamatan lama AS.






