KUPANG: Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan amaran awal tsunami selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda kawasan berhampiran Mbay di Nusa Tenggara Timur awal Sabtu.
Ketua Stesen Geofizik Kupang, Arief Tyastama berkata, gempa berlaku pada kira-kira 5.58 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gempa dikesan di sekitar 30 kilometer dari pesisir Mbay-Nagekeo, pada kedalaman antara 10 hingga 15 kilometer.
BMKG pada mulanya mengeluarkan amaran awal Tsunami tahap satu selepas gempa awal bermagnitud 7.0 direkodkan, sebelum menaikkan amaran kepada tahap dua. Amaran itu meliputi kawasan pesisir di Nusa Tenggara Timur, Sulawesi Selatan, Nusa Tenggara Barat, dan Sulawesi Tenggara.
Di Nusa Tenggara Timur, kawasan yang diletakkan pada status berjaga-jaga merangkumi bahagian utara Manggarai, Ngada, Manggarai Barat, Ende dan Sikka. Di Sulawesi Selatan pula, kawasan terlibat ialah Selayar, Jeneponto dan Bantaeng.
Sebelum itu, Ngada bahagian utara berada pada status waspada dengan anggaran ketibaan tsunami pada kira-kira 5.01 pagi (waktu tempatan).
BMKG kemudian mengesan gelombang tsunami di beberapa lokasi. Gelombang setinggi 0.19 meter direkodkan di Sikka dan 0.36 meter di Labuan Bajo, manakala gelombang setinggi 0.17 meter dikesan di Dompu.
Gempa itu turut dirasai di seluruh Pulau Flores, selain sebahagian Pulau Sumba, Adonara dan Solor, serta sehingga ke Pulau Lombok.
Di Kota Mataram, beberapa penduduk yang baru selesai menunaikan ibadah dan sedang membersihkan rumah bergegas keluar ke jalan selepas merasai gegaran.
Seorang penduduk, Veronika berkata, gempa itu berlaku ketika orang ramai sibuk membuat persiapan untuk menghantar anak ke sekolah.
“Gempa itu membuatkan kami terkejut kerana berlaku ketika waktu sibuk menyediakan anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Mataram.
Menurutnya, gegaran terasa seperti ayunan dan berlangsung agak lama sehingga menyebabkan kepalanya berasa pening.
Seorang lagi penduduk Lombok, Adam berkata, dia terjaga apabila melihat barangan di dalam biliknya bergoyang ketika gempa berlaku.
“Ketika sedang tidur, tiba-tiba semua benda di dalam bilik bergoyang. Rupanya gempa bumi. Semoga tiada perkara buruk berlaku di kawasan pusat gempa,” katanya.
Sehingga kira-kira 7.02 pagi (waktu tempatan), gegaran susulan masih berlaku.-AGENSI






