KETIKA banyak pihak terus memperkatakan tentang sejarah kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca di Nusantara, terdapat satu usaha yang sebenarnya sedang berlangsung setiap semester di institusi pengajian tinggi (IPT) negara.
Usaha tersebut ialah mewajibkan pelajar antarabangsa mengikuti dan lulus kursus Bahasa Melayu Komunikasi sebagai sebahagian daripada kursus Mata Pelajaran Umum (MPU).
Langkah ini mungkin kelihatan kecil, namun, dari sudut pengantarabangsaan bahasa, kesannya tidak boleh dipandang ringan.
Tidak banyak negara meletakkan pembelajaran bahasa kebangsaan sebagai komponen wajib kepada pelajar antarabangsa di universiti tempatan.
Bahasa Melayu mempunyai sejarah panjang sebagai bahasa perhubungan serantau sejak abad ketujuh Masihi. Namun, sejarah yang gemilang tidak memadai untuk menjamin masa depan sesuatu bahasa.
Bahasa hanya akan terus hidup dan berkembang apabila digunakan, dipelajari serta diwariskan kepada generasi baharu. Atas sebab itu, usaha memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa perlu dilihat sebagai strategi yang praktikal dan berpandangan jauh.
Melalui kursus Bahasa Melayu Komunikasi, pelajar antarabangsa didedahkan kemahiran asas bertutur dan menulis berkaitan situasi kehidupan harian.
Mereka mempelajari sebutan yang betul, struktur ayat asas, kosa kata dan adab berbahasa mengikut konteks budaya masyarakat Malaysia.
Lebih penting, proses pembelajaran tidak terhad kepada kuliah dan tutorial semata-mata. Pelajar turut digalakkan menjalani pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah melalui aktiviti lapangan, tugasan komuniti, temu ramah, lakonan dan interaksi dengan masyarakat setempat.
Pendekatan ini menjadikan bahasa Melayu bukan sekadar subjek untuk lulus peperiksaan tetapi alat komunikasi yang digunakan dalam kehidupan sebenar.
Hasilnya dapat dilihat apabila pelajar antarabangsa mula berinteraksi dengan peniaga di pasar, menyertai program gotong-royong, melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan atau berkomunikasi dengan masyarakat tempatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bahasa Inggeris.
Pengalaman tersebut membuka ruang kepada mereka untuk memahami budaya, nilai dan cara hidup masyarakat Malaysia dengan lebih dekat.
Dalam konteks pendidikan tinggi, kursus ini juga selari dengan matlamat MPU untuk melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai kemahiran insaniah yang baik.
Penguasaan bahasa bukan hanya berkaitan aspek linguistik tetapi turut membentuk keyakinan diri, keupayaan berinteraksi dan kesediaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pelbagai.
Apabila pelajar antarabangsa mampu menerangkan kandungan teks mudah, bertutur dalam pelbagai situasi dan menghasilkan karangan pendek dalam bahasa Melayu, mereka sebenarnya sedang menjadi duta kecil kepada bahasa tersebut.
Selepas tamat pengajian dan pulang ke negara masing-masing, pengalaman mempelajari bahasa Melayu akan terus dibawa bersama-sama.
Ada yang menggunakan kemahiran tersebut dalam kerjaya, penyelidikan atau hubungan perdagangan dengan Malaysia pada masa hadapan.
Di sinilah letaknya nilai strategik kursus Bahasa Melayu Komunikasi. Pengantarabangsaan bahasa tidak semestinya bermula dengan persidangan besar atau dasar yang kompleks.
Kadangkala bermula dengan seorang pelajar asing yang belajar memperkenalkan dirinya dalam bahasa Melayu, memahami budaya tempatan dan akhirnya menaruh rasa hormat terhadap bahasa yang dipelajarinya.
Pepatah Melayu menyebut, “tak kenal maka tak cinta”. Prinsip yang sama terpakai dalam usaha mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa. Sukar untuk mengharapkan masyarakat dunia menghargai bahasa Melayu jika mereka tidak pernah diberi peluang untuk mengenalinya.-UTUSAN
MUHD NORIZAM JAMIAN
Pensyarah,
Pusat Pengajian Asasi dan Pengajian Umum, Universiti Antarabangsa Albukhary





