LISBON: Seorang pempengaruh terkenal, Georgina Rodríguez memperkenalkan cincin perkahwinannya selepas berkahwin dengan Cristiano Ronaldo pada Selasa.
Namun, cincin pertunangannya yang sangat besar tidak kelihatan di sebelah cincin tersebut.
Sebaliknya, cincin pertunangan yang dianggarkan bernilai 25 hingga 30 karat itu dipindahkan ke jari tangan kanannya.
Walaupun laporan sebelum ini menyatakan pasangan selebriti itu dijangka berkahwin pada hujung minggu lalu, Rodríguez, 32, dan Ronaldo, 41 akhirnya mendirikan rumah tangga dalam upacara sivil secara tertutup beberapa hari kemudian di Cascais, Portugal, tepat setahun selepas mereka mengumumkan pertunangan.
Pasangan yang baru bergelar suami isteri itu berkongsi berita gembira tersebut di Instagram menerusi gambar jarak dekat tangan mereka.
Ronaldo, berkongsi sekeping gambar tangan pasangannya itu yang memperlihatkan cincin perkahwinan mereka, bersama kapsyen ‘C ♡ G’ di akaun Instagramnya.
Kelima-lima anak pasangan itu menghadiri upacara yang berlangsung secara tertutup dan intim, kata Brunswick Group, firma yang menguruskan perhubungan awam pemain tersebut kepada AFP.
Ronaldo, yang mewakili Portugal dalam Piala Dunia pada musim panas lalu sebelum pasukannya tersingkir pada peringkat 16 terakhir, kini bermain untuk kelab Arab Saudi, Al Nassr.
Bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu pernah memenangi Ballon d’Or, anugerah untuk pemain terbaik dunia, sebanyak lima kali.
Ronaldo dan Rodríguez bertemu pada 2016, ketika Rodríguez bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai Gucci di Madrid. – AGENSI/AFP






