DALLAS: Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth (DFW), Amerika Syarikat (AS) bakal menyediakan kemudahan tempat mengambil wuduk di dalam bilik air awamnya bagi keselesaan pengguna, menurut Jabatan Pelesenan dan Peraturan Texas.
Projek penambahan kemudahan wuduk khas itu telah didaftarkan secara rasmi dengan pihak berkuasa pengawal selia Texas pada 31 Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
“Projek ini merangkumi penambahan tempat mengambil wuduk di dalam bilik air sedia ada di aras ruang legar Terminal D,” menurut perincian projek berkenaan.
Projek tersebut dibiayai secara persendirian dan dijangka menelan kos kira-kira AS$300,000 (RM1.2 juta).
Penambahbaikan ini bertujuan untuk mengelakkan takungan air di atas lantai bilik air standard dan melindungi sinki, menurut dokumen tersebut.
Besin paras rendah dan ruang pelbagai agama yang serupa sudah wujud di hab lapangan terbang antarabangsa utama lain di seluruh AS, termasuk Chicago O’Hare.
Sebahagian pihak konservatif meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berhubung pelan projek itu.
Terdapat juga pihak lain menggesa orang ramai agar mengambil pendekatan yang lebih rasional dengan menegaskan bahawa stesen baharu itu bukan untuk mempromosikan sebarang ideologi.
“Orang ramai terlalu emosi berhubung tempat basuh kaki di DFW, tetapi kita (perlu) lihat fakta sebenar sebelum membuat kesimpulan.
“Ini bukan tentang mempromosikan sesuatu ideologi, ini ialah pengurusan asas lapangan terbang,” tulis aktivis konservatif, Ryan Fournier di media sosial.– AGENSI






