ATHENS: Pasangan warga Britain yang sedang berbulan madu merupakan antara tiga mangsa maut dalam nahas helikopter yang terbakar di sebuah pulau di Greece lewat semalam.
Helikopter udara persendirian itu dilaporkan mengalami kerosakan mekanikal beberapa ketika sebelum terhempas berhampiran sebuah lokasi landasan pendaratan di Sifnos, mengorbankan juruterbang dan dua penumpang.
Polis menamakan pasangan Britain yang maut itu sebagai Alexander Cromie dan Marie Ebert, manakala juruterbang dikenali sebagai Giorgos Raikos.
Akhbar harian Kathimerini melaporkan bahawa helikopter itu terhempas hanya beberapa saat selepas berlepas dari sebuah landasan helikopter berhampiran.
Menurut laporan itu, juruterbang berkenaan baru diambil bekerja dua bulan lalu.
Punca nahas itu belum diketahui buat masa ini.
Seorang saksi memberitahu media tempatan bahawa helikopter yang dipercayai merupakan Bell 206 buatan Kanada itu mula berpusing pada kelajuan tinggi sebelum menjunam ke daratan.
Sifnos ialah sebuah pulau Greece dalam gugusan pulau Cyclades. Ia terkenal dengan pantai berpasir.
Timbalan Datuk Bandar Sifnos, Manolis Fountoulakis memberitahu laman berita Greece NewsIT bahawa dua mayat ditemui di dalam lokasi nahas, manakala satu lagi ditemui beberapa meter dari situ.
Perkhidmatan kecemasan mula menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.17 petang waktu tempatan.
Dua anggota bomba bersama sebuah jentera bomba bergegas ke lokasi untuk memadamkan api marak, menurut laporan akhbar tempatan.
Pasukan penyelamat turut tiba di lokasi menggunakan bot berkelajuan tinggi yang dikendalikan oleh pasukan bomba. – AGENSI






