BRUSSELS: Seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja pengubahsuaian sebuah ruang bawah tanah di sebuah bangunan di Belgium menemukan harta karun emas tersembunyi yang dianggarkan bernilai £7.5 juta (RM35.45 juta).
Harta karun itu ditemukan ketika sebuah syarikat menjalankan kerja di sebuah bekas kilang bir di bandar Sint-Gillis-Dendermonde, kira-kira 40 minit perjalanan dari Brussels, pada pagi Selasa.
Harta tersebut disembunyikan di dalam dinding dan mengandungi jongkong emas, ketulan emas serta timbunan syiling.
Tidak diketahui dengan tepat bagaimana harta karun itu disimpan di dalam dinding. Beberapa laporan menyebut ia berada di dalam peti. Laporan lain menyatakan ia dibalut dengan plastik.
Seorang pelajar berusia 18 tahun yang bekerja sambilan bernama Kobe menemukan harta tersebut ketika dia dan seorang rakannya sedang menjalankan kerja pemasangan paip kumbahan kira-kira jam 8.15 pagi waktu tempatan.
Ketika mengorek bahagian dinding, dia pada mulanya menemukan syiling. Pada mulanya, beliau menyangka ia hanya syiling €1 (RM4.72) biasa. Namun, selepas menemukan ketulan dan jongkong emas, Kobe menyedari bahawa beliau telah menemukan sesuatu yang jauh lebih berharga.
Selepas menemuikan harta tersebut, pihak kontraktor terbabit segera menghubungi pelanggan mereka, sebuah badan kebajikan bernama CAW Oost-Vlaanderen, dan pihak polis.
Harta tersebut kemudian dipindahkan ke peti besi berkeselamatan tinggi milik kerajaan Belgium.
Polis kini menyiasat asal-usul harta itu kerana tidak diketahui bagaimana ia boleh berada di dalam bangunan tersebut. Kebanyakan jongkong emas itu dipercayai mempunyai cap tahun sekitar 1957 dan 1961.
Ketua polis tempatan, Patrick Feys, berkata, penduduk tempatan berpusu-pusu ke lokasi berkenaan selepas berita mengenai penemuan harta itu tersebar.
Beliau menggesa mereka yang mungkin mahu mencari harta lain supaya menjauhi lokasi tersebut. – AGENSI






