RIYADH: Satu pakatan pertahanan bersama baharu yang dimeterai antara Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan menimbulkan persoalan mengenai perubahan landskap geopolitik di Asia Barat, ketika kesan perang AS-Israel terhadap Iran mendorong beberapa negara mencari susunan baharu bagi melindungi keselamatan mereka.
Pakatan yang dinamakan Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah itu ditandatangani di Arab Saudi pada Jumaat.
“Perjanjian ini bertujuan memperkukuh pencegahan kolektif terhadap sebarang tindakan pencerobohan dan menetapkan sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana satu daripada tiga negara akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.
“Perjanjian ini juga menyediakan ruang untuk memperkukuh semua aspek kerjasama pertahanan antara ketiga-tiga negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.
Walaupun masih belum jelas bagaimana perjanjian itu akan dilaksanakan secara praktikal, penganalisis berkata, pakatan berkenaan mencerminkan persoalan yang semakin meningkat mengenai ketahanan jaminan keselamatan Amerika Syarikat (AS) terhadap sekutunya.
Riyadh kini berusaha memperkukuh hubungan keselamatan dengan perang AS-Iran mengheret beberapa negara jiran serta menjejaskan perkapalan melalui Selat Hormuz dan Laut Merah.
Perang itu turut memberi keyakinan baharu kepada Iran serta sekutunya, Houthi di Yemen yang kedua-duanya pernah melancarkan serangan terhadap Arab Saudi dengan penganalisis menyifatkan Washington kini semakin dilihat sebagai rakan yang tidak boleh diharapkan.
“Negara-negara di rantau ini semakin meragui kebolehpercayaan kerjasama keselamatan dengan AS sejak lebih sedekad lalu.
“Keputusan untuk memulakan operasi ketenteraan terhadap Iran, diikuti cara perang itu dijalankan serta percubaan yang berlaku secara berselang-seli untuk menyelesaikannya, hanya meningkatkan kebimbangan tersebut dan mempercepatkan usaha mempelbagaikan hubungan keselamatan dan pertahanan,” kata Felo Kajian Asia Barat Institut Dasar Awam Baker Universiti Rice, Kristian Coates Ulrichsen kepada Al Jazeera.
Bagaimanapun, Ulrichsen berkata, pembentukan pakatan pertahanan baharu itu berkemungkinan bukan bertujuan menggantikan atau mengambil alih peranan AS, sebaliknya menyediakan pilihan strategik, dasar tambahan serta mencerminkan usaha ketiga-tiga negara menyusun semula kedudukan mereka selepas pergolakan akibat perang Iran.
“Ini merupakan antara petanda geopolitik besar pertama bahawa susunan serantau sedang dibentuk semula akibat perang AS-Israel terhadap Iran.
“Signifikannya bukan semata-mata mengenai pembentukan pakatan ketenteraan rasmi, tetapi apa yang disampaikan mengenai cara negara-negara di rantau ini menilai semula keselamatan mereka,” kata Penganalisis Pusat Dasar Antarabangsa, Sina Toossi.
Menurut Toossi, pakatan baharu itu juga menjadi petanda Arab Saudi sedang berusaha memperluas rangkaian kerjasama keselamatannya dan enggan lagi terlalu bergantung kepada AS.
Laporan media turut menunjukkan sekutu AS di Asia Barat berasa kecewa kerana pentadbiran Trump melancarkan perang terhadap Iran pada Februari tanpa mengambil kira secara jelas kesannya terhadap sekutu-sekutu AS di rantau itu.
Pada masa sama, Washington menghadapi kesukaran untuk menyediakan bekalan peluru pertahanan udara yang mencukupi kepada sekutunya, dengan sebahagian besar bekalan itu disalurkan kepada Israel.





