MUNICH: Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Vietnam Airlines pada Sabtu lalu terpaksa membuang minyak di udara sebelum berpatah balik dan mendarat cemas selepas bahagian ekornya terhempas pada landasan ketika berlepas.
Pesawat jenis Boeing 787-9 bagi penerbangan VN-34 itu dijadualkan berlepas dari Munich, Jerman menuju ke Hanoi, Vietnam sebelum insiden berkenaan berlaku, menurut laman web pemantau penerbangan Flightradar24.
Rakaman video yang dikongsi oleh jurutera pesawat, Fahad Naim di platform X menunjukkan pesawat tersebut memecut di landasan sebelum bunyi dentuman kuat kedengaran.
Bahagian ekor pesawat kelihatan terhentak pada permukaan landasan sebelum ia menaik secara mengejut.
Ia menyebabkan debu tebal berterbangan di sepanjang landasan yang hampir habis digunakan.
Pesawat berkenaan kemudian berlegar-legar pada ketinggian sekitar 2,743 meter di ruang udara Munich selama kira-kira dua jam.
Rakaman laman informasi penerbangan, Flightradar24 menunjukkan pesawat tersebut membuang minyak bagi mengurangkan beban sebelum mendarat semula dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Munich.
Naim turut berkongsi beberapa keping foto menunjukkan kerosakan pada pesawat udara tersebut, termasuk bahagian modul impak ekor tercabut sepenuhnya dan tayar yang bocor.
Beliau turut menunjukkan bahagian bawah badan pesawat yang berlubang, kesan koyakan pada bahan komposit dan kesan geseran berat berhampiran bahagian belakang kapal terbang tersebut.
Naim mengesyaki insiden itu mungkin berpunca daripada masalah brek terlekat atau kerosakan dalaman.
Namun, beliau menegaskan masih terlalu awal untuk mengesahkan punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, Vietnam Airlines menerusi satu kenyataan kepada Reuters memaklumkan bahawa pesawat tersebut berpatah balik ke lapangan terbang asal disebabkan masalah teknikal.
Pihak syarikat menegaskan bahawa anak kapal telah mematuhi semua prosedur keselamatan yang ditetapkan dan berjaya mendarat dengan selamat di lapangan terbang tersebut. – AGENSI






