WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kekal menempatkan lebih 400 pesawat tentera di dalam dan sekitar Asia Barat ketika perang dengan Iran berterusan, menurut data penjejakan sumber terbuka yang dikumpulkan oleh akaun Perikatan Penjejakan Udara Ketenteraan dan OSINT DefenceGeek.
Aset tersebut merangkumi pesawat pejuang berkelajuan tinggi, pesawat pengawasan dan peninjauan serta armada pesawat pengisi minyak di udara yang ditempatkan atau beroperasi di kawasan membentang dari Britain hingga ke Lautan Hindi.
Satu senarai kekuatan pesawat pejuang berkelajuan tinggi telah diterbitkan pada 10 Ogos lalu.
Ia meletakkan jumlah pesawat pejuang berkelajuan tinggi AS yang ditempatkan di kawasan Markas Pusat AS (CENTCOM).
Ia melibatkan kira-kira 237 buah pesawat, berdasarkan penjejakan DefenceGeek.
Jumlah itu merangkumi jet F-15E Strike Eagle, F-35A dan F-35C Lightning II, F-16 Fighting Falcon, A-10C Thunderbolt II, EA-18G Growler serta F/A-18C/D Hornet.
Kontinjen terbesar ialah jet F-15E dengan 64 buah pesawat dikaitkan dengan penempatan dari Sayap Pejuang Ke-4, Sayap Pejuang Ke-366 dan Skuadron Ke-494 yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Diraja United Kingdom (RAF) di Lakenheath.
Jumlah tersebut termasuk dua pesawat yang direkodkan sebagai mengalami kerugian tempur tetapi identitinya belum dikenal pasti.
Sebanyak 55 lagi pesawat F-35A turut disenaraikan.
Ia termasuk pesawat dari Sayap Pejuang Ke-158, Pengawal Kebangsaan Udara Vermont, Pangkalan Tentera Udara Hill dan Tentera RAFdari Pangkalan Lakenheath.
Data itu merekodkan 15 F-35A dari Skuadron ke-495 di Lakenheath sebagai telah dikerahkan pada Julai.
Jumlah pesawat F-16C/CM pula dianggarkan sebanyak 61 buah dengan penempatan melibatkan unit yang dikaitkan dengan Carolina Selatan, Pangkalan Tentera Udara Shaw, Spangdahlem, Aviano dan Misawa.
Sebanyak 11 lagi jet F-16 direkodkan berada di Spangdahlem, tetapi tidak dimasukkan dalam jumlah pesawat yang ditempatkan ke hadapan. Ini kerana pesawat-pesawat tersebut belum dikerahkan ke kawasan CENTCOM.
Sebanyak 30 pesawat A-10C Thunderbolt II turut disenaraikan, melibatkan penempatan dari Skuadron ke-107, Sayap Pejuang ke-124 dan unit-unit dari Pangkalan Tentera Udara Moody.
Jumlah itu termasuk sebuah pesawat yang direkodkan sebagai hilang tetapi identitinya tidak dikenal pasti. – AGENSI






