LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK). Andy Burnham menggesa semua peniaga besar dan kecil agar menghentikan penjualan barbeku sekali guna bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran hutan yang semakin membimbangkan.
Beliau turut memberi amaran bahawa cuaca panas terik yang berpanjangan ini mungkin berlanjutan untuk beberapa minggu lagi berikutan keadaan cuaca ekstrem yang melanda negara.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa darurat Cobra bagi membincangkan langkah susulan kerajaan dalam menangani fenomena cuaca panas dan kering yang melampau.
Mesyuarat pertama beliau sebagai Perdana Menteri itu turut dihadiri menteri-menteri daripada Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Defra), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan serta Agensi Alam Sekitar.
“Jelas sekali terdapat masalah kebakaran hutan yang signifikan di bahagian selatan. Kebakaran di New Forest amat membimbangkan, kita juga melihat kejadian serupa di kawasan utara dan Suffolk baru-baru ini,” kata Burnham.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa banyak kejadian kebakaran berpunca daripada kecuaian penggunaan peralatan barbeku berkenaan.
“Ini juga pesanan buat orang ramai kerana kebanyakannya berpunca daripada barbeku sekali pakai.
“Saya percaya kita perlu menyampaikan mesej ini dengan jelas. Orang ramai tidak sepatutnya menggunakan barbeku berkenaan di kawasan terbuka pada masa ini.
“Saya belum pasti lagi apa tindakan susulan yang akan diambil, tetapi saya mahu menyampaikan pesanan tegas agar orang ramai berwaspada apabila berada di luar, sama ada melibatkan puntung rokok mahupun barbeku sementara yang berisiko mencetuskan kebakaran,” tambah Burnham. – AGENSI






