WASHINGTON: Satu imej planet Marikh yang dicari semula daripada arkib Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah merakam objek aneh dari jauh yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai makhluk menyerupai ubur-ubur atau sebuah peranti mekanikal.
Imej berkenaan dirakam oleh kenderaan penjelajah Curiosity milik NASA yang telah menyiasat potensi kewujudan hidupan mikrob di Marikh sejak 14 tahun lalu.
Ia merakamkan imej itu pada 20 Ogos 2023.
Foto itu menampilkan pemandangan berdebu planet berkenaan bersama bukit-bukau berbatu dan gunung-ganang besar.
Bagaimanapun, foto panorama tersebut turut mendedahkan kelibat kecil di sudut kiri yang kelihatan mempunyai bahagian badan hitam besar bertenggek di atas dua kaki yang halus.
Ia turut mencetuskan spekulasi bahawa kenderaan penjelajah itu mungkin merakam sesuatu yang bergerak di permukaan Marikh,
Namun, imej yang dirakamkan di kawasan sama kurang seminit sebelumnya tidak menunjukkan sebarang tanda kewujudan kelibat misteri tersebut.
Malah, foto yang mengandungi objek itu merupakan imej terakhir yang dimuat naik dalam laman web NASA bagi hari berkenaan.
Foto seterusnya daripada Curiosity hanya diambil hampir dua jam kemudian dengan kamera dihalakan ke arah yang berbeza.
Imej tahun 2023 itu dimuat naik semula pada Rabu lalu oleh seorang pengguna media sosial, Kari Sivertzen yang kerap berkongsi imej awam NASA yang mengandungi anomali aneh yang sukar dijelaskan.
“Kadangkala saya terkesan dengan perkara yang menarik perhatian saya dan berkongsinya di sini.
“Saya percaya wujud hidupan di planet lain dan memandangkan NASA telah menemui potensi jejak hidupan di Marikh, ia adalah tempat yang terbaik untuk meneliti,” kata Sivertzen di platform X.
Imej itu kemudian mendapat reaksi daripada netizen.
“Antara gambar UFO (objek terbang tidak dikenali) Marikh terbaik yang pernah saya lihat!” balas seorang pengguna.
“UFO berbentuk ubur-ubur ditemukan di Marikh. Yang ini nampaknya berinteraksi dengan permukaan planet,” tambah pengkaji bebas Marikh, Jean Ward di X. – AGENSI






