PETALING JAYA: Kerajaan telah mengambil langkah tepat menolak tuntutan waris kesultanan Sulu yang dibuat di Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis kerana penuntut tersebut bukan entiti yang diiktiraf.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Perhubungan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, tuntutan pampasan bernilai RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) itu tidak perlu dilayan kerana ia bukan berbentuk tuntutan diplomatik antara Malaysia dan Filipina.
“Mengapa perlu kita respons atau mengambil tindakan lanjut kerana mereka itu bukanlah entiti yang diiktiraf dan mereka bukan mewakili kerajaan Filipina.
“Kita juga tidak dimaklumkan mengenai tuntutan itu. Setakat ini kerajaan Malaysia telah menguruskan perkara ini dengan baik dan tiada keperluan untuk kita melayan tuntutan sedemikian,” jelasnya.
Beliau mengulas langkah kerajaan Malaysia menolak tuntutan yang dibuat di Mahkamah Arbitrasi Paris atas alasan ia tidak sah dan berlandaskan undang-undang.
Sementara itu, pakar geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr. Azmi Hassan berkata, adalah wajar untuk Malaysia berhenti membayar pampasan selepas pencerobohan yang didakwa dilakukan waris kesultanan Sulu di Lahad Datu beberapa tahun lalu.
“Isu ini kita tidak boleh pandang remeh kerana kita merupakan ahli konvensyen New York yang boleh memberi kebenaran kepada perantara Sepanyol untuk menyita harta di luar negara.
“Sebelum ini juga kita telah menghantar konfrontasi dengan menyatakan dua sebab kita menghentikan pembayaran iaitu kerana tiada kepastian mengenai waris Sulu yang sebenar serta kita tidak mahu berurusan dengan pengganas,” katanya.- UTUSAN





