PETALING JAYA: Belumpun Parlimen dibubarkan, timbul cakap-cakap politik mengaitkan nama individu terkenal termasuk yang pernah memegang jawatan tertinggi sesebuah organisasi keselamatan dan siasatan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Antaranya, dua bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador selain Tan Sri Musa Hassan yang aktif memberikan komentar dalam ciapan di Twitter mengenai isu-isu semasa.
Ciapan terbaharu Musa di Twitter berbunyi: “Orang politik musim nak pilihan raya sibuklah melabel sesuatu pihak rasis. Padahal semuanya mementingkan kaum atau kumpulan sendiri, tetapi tidak menganggap diri mereka rasis. Negara yang disahkan demokrasi terulung pun masih wujud perkauman tapi tak mengaku rasis”.
Ciapan lain beliau berbaur politik: “Dalam pentas politik adalah perkara biasa di mana pendedahan kelemahan dan mengkritik tindakan yang dilakukan oleh pihak lawan, tetapi mereka tidak akan mendedahkan jika ia dilakukan oleh rakan atau kumpulan mereka sendiri. Itulah kemunafikan yang sentiasa akan berlaku”.
Selain itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad juga disebut-sebut bakal ‘dilamar’ parti politik tertentu untuk diketengahkan sebagai calon.
Bagaimanapun bercakap kepada Nexbyte, Mohamed Apandi menafikan beliau akan menjadi calon PRU15 di samping menyifatkan perkara itu sebagai tidak benar.
“Itu berita palsu,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu seorang pemimpin kanan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memberitahu, nama bekas orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, Abdul Hamid dijangka diletakkan sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA).
Bercakap kepada akhbar ini, beliau bagaimanapun juga enggan mengulas mengenai desas-desus tersebut.
Umum mengetahui Abdul Hamid setia dengan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menerajui GTA dan tidak menolak untuk dicalonkan sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
Musa pula ketika dihubungi Nexbyte mengenai cakap-cakap politik itu juga terkejut dengan desas-desus mengatakan beliau dikatakan diletakkan sebagai calon pilihan raya.
“Siapa yang beritahu? Saya pun tidak tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkifli yang dilantik sebagai orang nombor satu SPRM ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pula sebelum ini pernah membayangkan tidak tolak kemungkinan bertanding di Parlimen Tasek Gelugor, namun sehingga kini belum diketahui tiket politik yang bakal ditandinginya.
Selain nama-nama itu, seorang Ketua Setiausaha kementerian disebut-sebut bakal diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai calon membabitkan salah satu kawasan Parlimen di Sabah.
Sebaliknya beliau menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin.
“Biasalah apabila cakap kita turun program sana sini, dikatakan kita mahu bertanding pilihan raya,” jelasnya.
Paling mencuri tumpuan adalah gandingan dua adik-beradik iaitu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan adiknya, Tengku Datuk Zuhri Tengku Abdul Aziz yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai apabila masing-masing berkemungkinan bertanding di kawasan Parlimen di Selangor dan Kuala Lumpur.
Malah Tengku Zafrul yang kini merupakan Bendahari BN Selangor, dijangka bertanding di salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di samping Parlimen Kuala Selangor yang bakal mempertaruhkan nama bekas Ketua Pegawai Eksekutif bank itu manakala Tengku Zuhri pula di Parlimen Lembah Pantai.
Sementara itu, bekas Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz ketika dihubungi menepis beliau bakal bertanding PRU15 dan menegaskan perkara itu ‘tidak pernah terlintas di kepalanya’.
Malah nama ahli akademik seperti Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah tidak terlepas daripada disebut-sebut sebagai calon, sebaliknya beliau dalam kenyataan menafikan khabar angin itu dan fokus utamanya kini adalah membangunkan dan memajukan UUM serta komited untuk terus bekerja bersama warga universiti berkenaan.
Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki Aksan juga antara yang disebut bakal bertanding namun berkata, beliau tidak berharap menjadi calon PRU15 untuk Pakatan Harapan (PH) sebaliknya, merasakan lebih sesuai menjadi penyokong dan membantu sekiranya diperlukan untuk membantu jentera.
“Saya tak mengharap dan rasanya tak diletakkan sebagai calon untuk PRU15. Ketika ini pun saya tidak mahu bertanding kerana saya rasa lebih sesuai menjadi penyokong sahaja.
“Walau bagaimanapun saya berharap PH dapat mengambil alih kerajaan supaya di akhirnya dapat membuktikan kerajaan PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu negara ke arah kebaikan,” jelasnya.
Bagi penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga dikenali sebagai Altimet berkata, beliau akan mengikut arahan parti dan sekiranya diminta untuk bertanding dalam PRU15, beliau akan memikirkan secara serius untuk bertanding.
“Saya kena buat keputusan dahulu, sebab perkara ini adalah tanggungjawab besar dan memerlukan banyak masa. Ia juga akan beri kesan kepada keluarga saya, jadi kena fikir-fikir dahulu,” katanya. – UTUSAN





