PETALING JAYA: Pemimpin parti yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu menerima hakikat bahawa khidmat dan jasa mereka sudah sampai ke penghujung selain digesa membantu anak muda menjadi pewaris kepemimpinan mereka.
Hal ini bagi memastikan politik negara dapat diremajakan semula.
Malah, pemimpin-pemimpin yang tidak terpilih ini juga dinasihatkan tidak mensabotaj parti yang boleh dianggap sebagai pengkhianat.
Bercakap kepada Nexbyte, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, perbuatan mensabotaj parti bukan sahaja membunuh proses demokrasi tanah air, malah, merosakkan keseluruhan sistem pilihan raya.
Katanya, golongan pengkhianat tidak layak dicalonkan sebagai pemimpin kerana lebih mementingkan kuasa dan kepentingan peribadi berbanding rakyat.
“Soalnya, kenapa perlu boikot dan sabotaj parti jika tidak dipilih? Tingkah laku mereka itu tidak ubah seperti pengganas. Mereka pengkhianat kerana membunuh sistem demokrasi.
“Pada saya mereka pemimpin yang tidak berguna kerana menjadi pengkhianat kepada Perlembagaan,” katanya di sini semalam.
Beliau mengulas tindakan penyokong parti yang membuat bantahan apabila pemimpin pilihan mereka tidak tersenarai sebagai calon untuk bertandig dalam PRU15.
Tunku Aziz berkata, pemimpin yang tidak dipilih bertanding termasuk orang lama atau ‘otai’ seharusnya akur dengan segala keputusan parti.
“Tiada istilah anda akan kekal selamanya dalam politik, kalau parti mahu gantikan dengan orang lain, terpulanglah kerana tiada siapa yang lebih berkuasa berbanding parti,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri berkata, unsur sabotaj sepatutnya tidak berlaku jika pemimpin berkenaan menganggap dirinya sebagai ahli parti.
Katanya, keputusan sama ada layak atau tidak bertanding adalah ketentuan parti berdasarkan strategi-strategi yang dikenal pasti.
“Mana-mana presiden parti pastinya seorang yang menangkap kilat dalam kilau dan pandai menilik beras dalam padi. Mereka sudah tahu tingkah laku individu tertentu yang boleh merebahkan parti walaupun merupakan figura penting, ternama dan dikenali.
“Tetapi, perjuangan politik ini tidak berbentuk individu, maka, pemimpin perlu berbesar hati berundur dan memberi ruang kepada orang baharu untuk menerajui kawasan mahupun jawatan,” katanya.
Ahmad Zaharuddin berkata, keengganan untuk berundur akan mengakibatkan ekosistem parti terbantut kerana golongan yang tua kekal manakala yang muda ‘mati’ sebelum berjawatan.
“Oleh itu, pemimpin harus mengorak langkah untuk memastikan ekosistem yang memberi ruang dan peluang kepada orang muda dan individu terkemuka agar boleh memberi idea baharu dan terus bergerak ke hadapan,” katanya. – UTUSAN





