BUTTERWORTH: Istilah catu makanan, ikat perut adalah perkara biasa bagi pelajar universiti yang menyewa di luar kampus dan menjadi cabaran besar kepada mereka.
Bercakap kepada Nexbyte, penuntut tahun dua sarjana jurusan Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Esnita Sonie, 28, berkata, keadaan itu turut disebabkan oleh sebahagian penyewa rumah mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewa kerana tahu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tiada pilihan yang banyak untuk mencari tempat tinggal.
“Kadar sewa bagi sebuah bilik ialah RM330 sebulan dan saya menyewa bersama tujuh penghuni lain dalam satu rumah,” katanya yang pernah menyewa ketika tahun pertama pengajian dan kini tinggal di asrama sepenuhnya.
Tambahnya, perbandingan hidup di asrama jauh lebih menjimatkan berbanding hidup menyewa di luar kampus.
“Makanan dan minuman di kafe dalam kampus jauh lebih murah berbanding di luar iaitu penjimatan kira-kira sehingga 30 peratus. Bagi saya, hal itu sangat membantu kerana ada dalam kalangan penuntut IPT bukan daripada golongan senang.
“Pernah suatu ketika saya terpaksa makan nasi lemak berharga RM1.50 untuk sehari bagi mengisi perut untuk waktu sarapan, tengah hari dan juga makan malam,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.
KERJA SAMBILAN
Sementara itu, penuntut tahun akhir jurusan kejuruteraan yang ingin dikenali sebagai Azlina, 25, berkata, beban kos sara hidup yang tinggi memaksanya mencari pekerjaan sampingan bagi melunaskan komitmen bulanan seperti sewa rumah, bil telefon, kelengkapan belajar selain keperluan asas yang lain.
“Keluarga tidak tahu saya buat kerja ‘part time’ menjual barangan kecantikan kerana terikat dengan pelbagai komitmen bulanan seperti makan, minum, duit tambang untuk ke kampus dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, terdapat enam penuntut lain yang turut menyewa bersamanya berhampiran kawasan kampus di Seberang Perai dengan setiap seorang membayar sewa termasuk bil api dan air sebanyak RM250 sebulan.
“Kami tiada pilihan kerana polisi kolej kediaman di kampus lebih mengutamakan pelajar semester baharu dan jika mahu tinggal di kolej kediaman perlu kemukakan surat rayuan dan melalui prosedur tertentu,” katanya yang berasal dari Pantai Timur.
DEKAT DENGAN KAMPUS
Sementara itu di SEREMBAN, sekumpulan pelajar UiTM Kampus Seremban terpaksa berhimpit 22 orang menyewa rumah di Taman Seremban 3 yang berdekatan dengan kampus tempat pengajian mereka.
Salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Izzati, 22, berkata, dia terpaksa menyewa di rumah teres dua tingkat yang mempunyai lima buah bilik itu kerana ketiadaan rumah lain yang terletak berdekatan dengan universiti.
Mengakui tidak selesa kerana terpaksa bersesak dalam sebuah rumah, dia yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu, terpaksa menyewa di rumah berkenaan kerana ketiadaan pengangkutan untuk ke kampus.
“Semuanya kerana saya lewat untuk mendapatkan rumah sewa yang lain, cuma yang tinggal hanya rumah ini. Walaupun terpaksa bersesak seramai enam orang dalam satu bilik, ini sahaja pilihan yang saya ada untuk semester ini.
“Di rumah memang sukar untuk belajar dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah, memang tidak selesa apabila ramai dalam satu rumah. Ruang yang ada untuk belajar hanyalah di ruang tamu, memang bising dan agak terganggu, jadi semua tugasan saya siapkan di kampus sebelum pulang ke rumah,” katanya.
Menurut Izzati lagi, setiap daripada mereka perlu membayar sewa pada harga RM200 sebulan kepada pihak ketiga yang menguruskan rumah sewa berkenaan sedangkan kadar sewa rumah di kawasan itu difahamkan hanya sekitar RM1,500 sebulan.
“Keluarga ada bertanyakan adakah saya tidak mahu mencari rumah sewa yang lain, tetapi memang semua rumah sudah penuh. Buat sementara untuk semester ini memang saya akan tinggal di sini dan semester hadapan saya akan cari rumah lain yang lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini, Amirah, 23, memberitahu, dia terpaksa bekerja separuh masa bagi menampung kos pembelajaran termasuk sewa bulanan rumah yang didudukinya bersama 10 orang rakannya yang lain.
“Kami terpaksa menyewa rumah sejak semester tiga selepas penginapan kolej di dalam universiti sudah tidak lagi mencukupi.
“Kami kemudian menyewa sebuah rumah teres dua tingkat dengan kadar sewa RM1,250 sebulan. Setiap seorang daripada kami akan bayar lebih kurang RM150 sebulan, dan saya mendapat sebuah bilik kecil dengan seorang lagi rakan.
“Jika ditanya kos yang perlu saya tanggung, memang agak tinggi kerana saya perlu menyiapkan RM500 sebulan untuk sewa rumah, makan dan pengangkutan untuk ke kampus, memang kami agak terbeban,” katanya. – UTUSAN





