KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan urusan siasatan berhubung ketidakcekapan dan ketirisan dialami Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan anak syarikatnya, UiTM Holdings kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Itu (serah kepada) SPRM,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia dekat Dewan Canselor, Universiti Selangor (Unisel), di sini hari ini.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, sayap pelaburan UiTM mengalami kerugian empat tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2021 sebanyak RM157.04 juta.
Malah kerugian terkumpul dialami syarikat itu dalam tempoh 10 tahun adalah RM157.8 juta melibatkan pelbagai pelaburan termasuk projek menerbitkan filem sehingga hangus puluhan juta ringgit, selain resort penginapannya, Intekma Resort & Convention Centre di Seksyen 7 di sini, yang tidak memberikan hasil sehingga dihentikan operasi.
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilihat Nexbyte, anak syarikat UiTM itu yang ditubuhkan pada 2007 pernah mencatat keuntungan keseluruhan sebanyak RM26 juta pada tahun 2011, 2014, 2015 dan 2016. – UTUSAN





