PETALING JAYA: Bidang sains tulen merupakan antara tiga bidang yang sukar mendapat kerja kerana silibusnya kurang menyeluruh dan tidak menepati kehendak majikan dalam era globalisasi ini.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, dua bidang lain adalah sains sosial dan pengajian Islam seperti dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2018.
Menurut beliau, akibat daripada itu banyak graduan terpaksa menganggur dan ia perlu diselesaikan segera supaya mereka ada peluang pekerjaan dan mengelak runtuhnya minat terhadap bidang berkaitan.
“Jika di universiti, tiga bidang ni sebenarnya merupakan fakulti paling besar. Kita perlu integrasikan fakulti terlibat dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
“Pelajar daripada bidang berkaitan perlu mengambil kursus ICT, keusahawanan dan sebagainya. Ini bagi memastikan pelajar dilengkapi dengan pelbagai ilmu atau kemahiran yang dikehendaki industri,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, bidang ICT terutama berkaitan perniagaan dalam talian antara sembilan bidang yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan untuk mencari pekerja tahun ini.
Malah, tinjauan Nexbyte sebelum ini menerusi portal Linkedin, Indeed dan MYFutureJobs mendapati, lebih 40,000 kekosongan berkaitan bidang tersebut ditawarkan oleh majikan-majikan di seluruh negara.
Ini membolehkan graduan-graduan daripada bidang ICT mendapatkan peluang pekerjaan dalam industri dengan mudah, memandangkan ia sedang berkembang pesat di Malaysia dan pelbagai sektor memerlukan kepakaran tersebut.
Anuar yang juga Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan di Majlis Profesor Negara (MPN) menggesa kerjasama antara universiti dan industri dilakukan lebih menyeluruh demi kepentingan graduan.
“Sudah ada amalan untuk membawa masuk majikan-majikan ke kampus untuk memberi kuliah dan berinteraksi dengan pelajar namun tidak begitu menyeluruh, saya berpendapat ia sepatutnya menjadi komponen wajib untuk graduan.
“Dalam tempoh pelajar berada di dalam universiti, mereka perlu dilengkapkan dengan pengalaman berinteraksi bersama majikan. Misalnya, pergi ke industri semasa cuti dan sebagainya untuk melihat proses pekerjaan sebenar,” jelasnya. – UTUSAN






