SHAH ALAM: Badan Perhubungan Pas Selangor menggesa siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti dilaksanakan dengan suci hati serta memastikan pendakwaan tidak dilakukan berdasarkan agenda politik.
Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, Pas bagaimanapun mendukung prinsip kedaulatan undang-undang negara dalam kes yang tulen (collateral purposes) bukannya berpilih-pilih atas kepentingan politik.
“PAS Selangor menyatakan solidariti ke atas TSMY (Muhyiddin) yang ditahan oleh SPRM dan didakwa di Mahkamah pagi ini berkaitan isu-isu yang melibatkan peniaga Melayu dan Bumiputera melalui inisiatif Jana Wibawa dan pengecualian cukai khas terhadap Yayasan Al-Bukhary.
“PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu dibenarkan diikat jamin oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi sebanyak RM2 juta selepas mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan nilai RM232.5 juta.
Beliau dituduh atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua lagi membabitkan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.
Dalam pada itu, Roslan Shahir bagaimanapun menyifatkan pendakwaan terhadap Muhyiddin sebagai tergesa-gesa dan seolah-olah terancang dengan naratif ‘hoi ya hoi’ daripada parti kerajaan.
“Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif ‘hoi ya hoi disebelah sana’ yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023.
“Dengan tujuan utama untuk mengekang suara oposisi dan menjejaskan reputasi Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi,” tegasnya. – UTUSAN






