KUALA LUMPUR: Penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota yang bersara sebelum tahun 2013 memerlukan kemampuan kewangan sehingga RM107 juta setahun.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahary berkata, pelaksanaan penyelarasan pencen itu memakan masa yang panjang daripada kerajaan-kerajaan terdahulu kerana kekurangan duit.
“Kalau kita hendak selaraskan, kita akan berusaha untuk pastikan kemampuan dahulu. Sebab itu kerajaan perlu ada kemampuan kewangan, itu teras paling utama. Setiap RM100 yang kita hendak tambah untuk veteran, ia melibatkan RM107 juta setahun.
“Saya yakin dengan model kerajaan Madani ini, kalau kita berjimat cermat, kalau kita beri tumpuan, kita boleh laksana, bukan jadi satu masalah,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim [Arau-PN) mencelah dan memnta kepada kementerian itu untuk mengumumkan berita yang dinanti-nanti veteran ATM berkenaan penyelarasan pencen sebelum Aidilfitri ini.
“Saya harap bolehlah diumumkan oleh kerajaan sebelum hari raya, sekitar RM500 supaya veteran berpuas hati setelah menabur bakti, menumpahkan darah serta berjuang untuk mempertahankan negara sebelum ini,” katanya.
Perkara itu juga dibangkitkan oleh Datuk Jalaluddin Alias [Jelebu-BN] yang menuntut Kementerian Pertahanan untuk memberitahu perincian serta perancangan kerajaan pada masa ini. – UTUSAN






