KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa melakukan siasatan segera berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyanggah titah Sultan Terengganu melarang ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas turut mendakwa beliau akan terus menyampaikan kuliah tersebut seperti biasa selepas ini.
Menurutnya, Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya akur dengan arahan Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) yang dikeluarkan pada 2 Mac lalu.
“Arahan (Maidam) tersebut jelas melarang ahli politik menyampaikan kuliah di masjid dan surau demi mengelakkan institusi suci umat Islam itu dicemari unsur politik kepartian.
“Namun, Abdul Hadi menyanggah (arahan Sultan Terengganu) dan menyatakan akan terus berkuliah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui polis selepas membuat laporan polis dengan kenyataan Abdul Hadi itu di Ibu Pejabat Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Raja Kamarul Bahrin Shah menambah, kenyataan Abdul Hadi tersebut juga tidak bertepatan dengan nilai Melayu Islam sebenar yang diwar-warkan mereka selama ini.
“Sebagai seorang pemimpin politik kanan negeri dan negara, kenyataan Abdul Hadi mempunyai banyak implikasi negatif kepada ketenteraman umum masyarakat tempatan,” ujarnya.
Pada 4 Mac lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, beliau akan tetap meneruskan ceramah di masjid dan surau seperti biasa walaupun wakil rakyat di Terengganu dilarang berbuat demikian.
Menurut beliau, tindakan itu bukan satu kesalahan untuk ahli politik memberi kuliah atau ceramah di masjid kerana dalam Islam sendiri, politik dan agama tidak boleh dipisahkan. – UTUSAN






