PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad disahkan memasuki gelanggang pertandingan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurut sumber parti itu kepada Nexbyte, bagaimanapun kaedah penyertaan gabungan politik itu belum diputuskan kepimpinan tertinggi dalam beberapa mesyuarat yang diadakan ketika ini.
Katanya, persediaan ke arah itu sudah dibuat pada peringkat pertama bagi menghadapi PRN di enam negeri.
“Dalam penyertaan PRN ini, GTA belum memutuskan sama ada bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau fokus kepada pakatan GTA sendiri.
“Itu pun bergantung kepada kelulusan pendaftaran GTA sebagai gabungan parti oleh Jabatan Pertubuhan (RoS) atau menggunakan tiket parti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra),” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Nexbyte melaporkan GTA bakal mengambil pendirian membentuk pakatan bersama PN sebagai satu usaha memina gabungan kekuatan parti Melayu terbesar di negara ini.
Menurut sumber, hala tuju GTA akan diperincikan selepas mesyuarat agung tahunan Putra pada Mei ini dengan memutuskan untuk merombak Putra dan ditukarkan nama kepada GTA.
Kata beliau, GTA akan mengangkat Dr. Mahathir sebagai Presiden dengan membentuk gabungan bersama parti-parti di bawah gerakan itu sebelum ini seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Bagaimanapun, Putra menegaskan, cadangan penyertaan atau pakatan antara Putra dengan PN tidak berbangkit pada masa ini termasuk isu penukaran nama Putra kepada GTA juga tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra setakat ini.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, kerjasama dengan PN nampak cerah selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan tertutup bersama Dr. Mahathir selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut berjumpa bekas Perdana Menteri itu.
Katanya. perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan PN sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pada PRU15 lalu, GTA menggunakan bendera dan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana permohonan pendaftaran GTA sebagai sebuah parti politik belum sempat diluluskan RoS manakala calon GTA di Kelantan bertanding menggunakan bendera dan logo Parti Putra.
Bagaimanapun, kesemua 125 kawasan GTA bertanding kalah teruk dan ramai calon mereka hilang wang deposit termasuk bekas Perdana Menteri itu yang juga Pengerusi Penaja GTA.
Ekoran kekalahan itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil keputusan untuk berundur daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu.
Namun, tindakan Mukhriz itu tidak dipersetujui bapanya sekali gus membuat pendirian keluar dari parti itu dan meletak jawatan serta keahlian sebagai menunjukkan bantahan. – UTUSAN






