PETALING JAYA: Tempoh tiga tahun adalah masa yang sangat lama untuk doktor kontrak menunggu penyelesaian status kerja mereka.
Wakil Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang tidak mahu dikenali berkata, penyelesaian segera harus diambil memandangkan isu itu sudah berlaku lama dan tiada penyelesaian konkrit.
“Ramai doktor kontrak sudah meninggalkan perkhidmatan mereka menyebabkan sistem kesihatan negara amat terbeban dengan staf yang kurang dan pesakit yang semakin bertambah setiap hari.
“Kalau tidak diselesaikan segera dan terpaksa menunggu hingga tiga tahun bagi mendapatkan penyelesaian, sistem kesihatan negara mampu runtuh dan rakyat juga yang akan terkesan.
“Perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan sedia ada benar-benar meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka.
“Kerajaan Madani yang bertunjangkan kebajikan rakyat sudah pasti akan cuba menyelesaikan isu ini secepat dan sebaik mungkin untuk kepentingan bersama,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan isu doktor kontrak akan dapat diselesaikan dalam masa tiga tahun lagi.
Menurutnya, kerajaan mahu menyelesaikan isu pelantikan tetap 4,000 doktor kontrak seperti yang dituntut yang bermakna kerajaan memerlukan RM10 billion setahun.
“Perkara itu tidak mungkin. Sebab itu, saya bagi jaminan, tahun ini 1,500 lantikan, tahun depan atau berikutnya, katakan dalam tempoh tiga tahun, kita boleh selesaikan masalah ini,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu wakil HDK tersebut berkata, berkemungkinan jaminan itu hanya diberikan kerana adanya khabar angin mogok besar-besaran akan diadakan pada 3 hingga 5 April ini di seluruh negara.
“Ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan kemarahan doktor kontrak yang sudah lama berada dalam situasi tertekan akibat beban kerja yang semakin meningkat.
“Bagaimanapun, saya tidak merasakan mogok ini akan dihentikan tetapi lebih baik untuk bertanya lebih lanjut kepada penganjur kumpulan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi mesej Instagram Mogok Doktor Malaysia, mereka tidak mahu memberi sebarang komen dan tidak akan mendedahkan identiti mereka sehingga tibanya hari mogok yang ditetapkan.
Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak berkata, doktor kontrak terlibat tiada pilihan selain bersabar dan menunggu keputusan kerajaan.
“Kita perlu berikan ruang kepada Perdana Menteri supaya isu ini dapat diselesaikan secara komprehensif.
“Lambakan graduan dan tawaran pekerjaan di peringkat Kementerian Kesihatan perlu diimbangkan untuk menyelesaikan isu ini.
“Bagaimanapun, mogok yang sudah dirancang bukan penyelesaian terbaik, apatah lagi jika dibuat secara skala kecil,” katanya. – UTUSAN





