KUALA LUMPUR: Pemain industri pertanian perlu memfokuskan teknik pembajaan yang lebih efisien bagi mengeluarkan hasil padi tinggi sekali gus membantu meningkatkan bekalan beras dalam negara.
Bercakap kepada Nexbyte, pakar pertanian dan sekuriti makanan, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus berkata, langkah itu lebih praktikal untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi berbanding dalam negara berbanding membuka jelapang padi baharu.
“Lebih baik kita tekankan aspek bagaimana mahu tingkatkan penghasilan padi di jelapang sedia ada.
“Kalau tambah jelapang padi, hasilnya sama ia adalah satu langkah yang sia-sia. Contoh purata hasil padi empat tan metrik per hektar, ia sangatlah rendah. Tentunya ada pelbagai faktor yang boleh diambil kira tetapi tidak perlu lihat pada faktor yang kompleks.
“Lihat pada perkara asas. Apa yang saya faham, teknik pembajaan tanaman padi di negara kita masih lemah. Ini yang harus dititikberatkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Nexbyte melaporkan, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun yang dibimbangi jika berterusan akan menjejaskan bekalan beras negara.
Zulkifli berkata, spesifikasi nutrien tanah juga wajar diberi penekanan kerana setiap kawasan mempunyai kandungan dan keperluan nutrien berbeza.
“Penghasilan padi boleh berkurangan jika nutrien pada tanah tidak cukup. Jadi, teknik pembajaan kena betul yang merangkumi masa pembajaan dan jenis baja itu sendiri bagi merangsang produktiviti padi.
“Umum tahu, pesawah dapat baja subsidi dan kawasan jelapang pula luas. Namun, nutrien tanah di setiap kawasan kemungkinan tidak sama. Maka, mahu letak baja tidak boleh jenis yang sama semuanya, kena tengok nutrien apa yang kurang pada tanah tersebut.
“Untuk tahu, kena buat ujian, ambil sampel tanah dan hantar pada makmal. Cuma, golongan pesawah ini harus terbuka menerima nasihat dan proaktif dengan keterangan amalan yang betul daripada pakar atau pegawai jabatan pertanian ini.
“Jika nasihat yang betul sudah diberikan, tetapi pesawah tidak mahu menerimanya dengan baik pun, ia tidak akan menjadi,” katanya.
Menurutnya, jika cadangan mengenai penekanan teknik pembajaan diterima baik oleh semua pemain industri pertanian, tidak mustahil hasil padi negara dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya lima tan metrik per hektar secara purata. – UTUSAN






