PETALING JAYA: Penantian 30 rakyat Malaysia untuk meninggalkan Sudan yang dilanda konflik berakhir selepas kesemua mereka dibawa keluar dari pelabuhan negara tersebut dengan bantuan Arab Saudi, semalam.
Wisma Putra memaklumkan, kesemua rakyat Malaysia yang mengharungi perjalanan penuh cabaran selama 30 jam dari Khartoum ke pelabuhan negara tersebut dibawa keluar dengan menggunakan kapal tentera laut milik Arab Saudi menuju ke Jeddah.
Katanya, pelayaran tersebut yang merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam sebelum tiba di Arab Saudi.
“Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana membuatkan misi evakuasi ini berjaya.
“Atas dasar keprihatinan, Malaysia turut membantu warganegara Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand dan Amerika Syarikat (AS) untuk meninggalkan Sudan dengan selamat di bawah pengawasan rapi dan usaha Pasukan Khas Op Sudan Malaysia,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, sebanyak 56 orang termasuk warganegara lain berjaya dibantu oleh pasukan tersebut untuk keluar dari ibu negara Sudan ke Pelabuhan Sudan, iaitu dengan jarak perjalanan sejauh 1,233 kilometer (KM).
Situasi getir tersebut terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia di Sudan selepas peperangan tercetus di sana akibat daripada krisis yang dihadapi oleh pihak tentera nasional dan Pasukan separa tentera iaitu Rapid Support Forces (RSF).
Sementara itu, sumber keselamatan yang pernah mengikut misi pengaman PBB di Darfur, Sudan memberitahu, langkah membawa pulang rakyat negara ini adalah keputusan tepat kerana konflik yang berlaku di negara tersebut mungkin berlarutan lama.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu campur tangan untuk membawa pihak bertelagah di Sudan ke meja rundingan, jika tidak peperangan akan berterusan kerana mereka tidak mudah untuk beralah,” ujarnya. – UTUSAN





