KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbang tindakan tertentu yang akan dikenakan terhadap doktor-doktor lantikan kontrak yang mungkin terlibat dalam rancangan mogok selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
Bercakap kepada Nexbyte, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebagai penjawat awam, pegawai perubatan juga tertakluk kepada integriti dan etika perkhidmatan awam.
“Saya sudah beritahu sebelum ini, mereka tertakluk kepada integriti sebagai penjawat awam dan etika perkhidmatan awam. Apapun, kita akan ada pertimbangan (tindakan terhadap mereka),” katanya ringkas ketika ditemui di Parlimen semalam.
Dalam pada itu, kata Zaliha, kementerian sentiasa dalam mod bersedia untuk berdepan apa jua keadaan termasuk menangani isu melibatkan doktor-doktor kontrak yang mula melancarkan mogok tidak hadir kerja.
“Semua terkawal setakat pemantauan hari ini. Kita (kerajaan) tetap dalam mod siap siaga. Apa yang penting ialah perkhidmatan kepada pelanggan atau pesakit pesakit yang menjadi keutamaan kerajaan. Sebab ia berkait dengan nyawa manusia,” katanya.
Ahad lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi ekoran daripada rancangan mogok.
Mogok Doktor Malaysia, yang merupakan gerakan baharu doktor kontrak selepas Hartal Doktor Kontrak memulakan protes terhadap kerajaan bermula semalam.
Gerakan itu mendakwa tindakan tersebut akan menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan kerajaan sekiranya lebih 10,000 doktor kontrak tidak hadir bertugas.
Mereka mengambil pendirian itu kerana kerajaan masih membisu berhubung beberapa isu termasuklah masalah lantikan ke jawatan tetap yang berlarutan lebih tujuh tahun.
Kelmarin, Kementerian Kesihatan dilaporkan mengeluarkan infografik menyenaraikan bentuk perhimpunan haram yang dianggap melanggar surat edaran dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 30 Jun 2011.
Ia termasuk, penglibatan aktif di luar masa bekerja, menggunakan masa pejabat dan meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan.
Selain itu, bentuk perhimpunan haram juga merangkumi menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak dan mengedar risalah berkaitan perhimpunan seumpama itu.
“Sekiranya cukup bukti menunjukkan pegawai terlibat dalam kegiatan tersebut, maka pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993,” katanya. – UTUSAN





