KUALA LUMPUR: Orang awam menggesa Kementerian Kesihatan mengambil langkah untuk memulihkan hubungan dengan doktor kontrak demi memastikan kepentingan masyarakat terus terbela.
Mereka bmbang sekiranya masalah itu berlarutan akan menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lebih lama akibat daripada kemungkinan doktor kontrak yang menyertai mogok diberhentikan sedangkan umum mengetahui hospital kekurangan petugas.
Tinjauan Nexbyte di sebuah hospital di ibu negara mendapati pesakit perlu menunggu paling kurang dua jam untuk temujanji di unit rawatan am malah terdapat juga pesakit terpaksa akur pulang ke rumah kerana dimaklumkan ketiadaan doktor.
Seorang pesakit yang hanya ingin dikenali sebagai Zamrul, 60, berkata, dia merasakan isu melibatkan kesihatan tidak boleh dipandang remeh dan kebajikan doktor kontrak harus dijaga.
“Saya tunggu dari 8 pagi sehingga 12 tengah hari, nombor giliran masih tidak dipanggil,” katanya ketika ditemui.
Menurut seorang lagi pesakit yang hanya ingin dikenali sebagai Maya, 35, dia terpaksa pulang ke rumah walaupun sudah ada temujanji dibuat bersama pihak hospital atas alasan ketiadaan doktor.
“Saya ingin membuat rawatan laser mata tetapi diberitahu, doktor yang bertugas tidak mencukupi hari ini.
“Saya terpaksa menangguh rawatan laser itu dan ia menyusahkan kerana perlu datang kembali ke sini,” jelasnya.
Pada masa sama, Abdul karim mokhtar, 76, berkata, mogok doktor kontrak tidak sepatutnya dilakukan kerana memberi kesan kepada orang awam terutama pesakit yang benar-benar memerlukan perkhidmatan mereka.
“Kerajaan mahu ambil semua doktor kontrak ke jawatan tetap juga sukar kerana kos. Jadi saya harap ada persefahaman antara mereka untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Bagi pesakit, Eliza Asfalizan Ramli, 32, kedua-dua pihak tidak salah dalam isu itu kerana masing-masing mempunyai alasan sendiri mengapa melakukannya.
“Wajarlah doktor kontrak melakukan mogok tiga hari ini kerana kita tahu penatnya doktor melakukan tanggungjawab mereka untuk merawat pesakit. Sentiasa bersedia untuk on call ketika khidmat mereka diperlukan.
“Tetapi doktor sedia ada juga sudah ramai dan kerajaan tidak boleh disalahkan kerana keadaan ekonomi negara masih tidak stabil,” ujarnya. – UTUSAN





