KUALA LUMPUR: Ramai doktor kontrak di seluruh negara dipercayai tidak menyertai mogok yang diuar-uarkan melalui akaun Instagram @mogokdoktormsia.
Tinajaun Nexbyte mendapati operasi hospital berjalan seperti biasa dan tidak mengalami kekurangan doktor yang luar biasa.
Menurut seorang doktor kontrak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang enggan dikenali, rakan-rakannya ramai tidak menyertai mogok tersebut yang dilihat tidak dirancang dengan betul dan jelas dalam menyatukan semua doktor kontrak.
“Setakat ini tiada yang mengambil cuti sebagai tanda untuk mengikuti protes tersebut.
“Mogok ini bukan berada di bawah Gerakan Hartal Doktor Kontrak (GHDK) seperti sebelum ini,” katanya kepada Nexbyte.
Di GEORGE TOWN: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, beliau dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Fadzilah Shaik Allaudin kesemua perkhidmatan kesihatan awam di negeri itu berjalan seperti biasa.
Di ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah tidak mengesan sebarang tindakan mogok dalam kalangan 1,290 pegawai perubatan lantikan kontrak di seluruh hospital dan klinik kesihatan di negeri ini, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman.
Di KANGAR: Tinjauan Nexbyte di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini mendapati operasi perkhidmatan kepada para pesakit masih berjalan seperti biasa dan tidak berdepan sebarang gangguan atau kelewatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, buat masa ini, beliau belum menerima sebarang laporan berhubung aktiviti mogok di mana-mana fasiliti perubatan di Perlis.
Di JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berterima kasih dan amat menghargai komitmen seramai 1,880 doktor kontrak gred UD41 dan gred UD43 yang bertugas di 24 fasiliti kesihatan di negeri ini kerana tidak menyertai mogok tiga hari, yang dilaporkan diadakan bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, tinjau pihaknya mendapati perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini berjalan lancar seperti biasa dan tidak berlaku kesesakan luar biasa di fasiliti kesihatan kerajaan serta tiada doktor kontrak yang tidak hadir bertugas.
Tiada doktor kontrak di Terengganu lakukan mogok
Di KUALA TERENGGANU: Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kebanyakan doktor kontrak di neger dilaporkan hadir bekerja seperti biasa.
Di KOTA BHARU: Doktor kontrak di negeri ini membuat keputusan tidak menyertai mogok seperti diuar-uarkan sekali gus menyaksikan operasi perkhidmatan kesihatan di semua hospital berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Tinjauan Nexbyte di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) perkhidmatan kepada para pesakit berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah.
Seorang doktor kontrak yang enggan dikenali berkata, dia bersetuju dengan semua tuntutan dikemukakan namun tindakan melancarkan mogok dilihat tidak bersesuaian dalam menangani masalah berbangkit. – UTUSAN






