PUTRAJAYA: Semua Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentang di Parlimen wajib dan mempunyai teks dalam bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Nexbyte, Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perkara 152 juga memperuntukkan penggunaan rasmi bahasa Inggeris di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mahkamah hanya dalam tempoh 10 tahun selepas 31 Ogos 1957.
Ini kerana katanya, selepas tarikh itu sudah ada Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menentukan tadbir urus penggunaan bahasa rasmi.
Beliau menjelaskan, Perkara 152 juga memberi perlindungan bahawa tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan, mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain (selain bagi maksud rasmi), juga hak Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk meneruskan penggunaan serta pengajian bahasa mana-mana kaum di dalam Persekutuan.
“Selepas tahun 1967 berdasarkan peruntukan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan atau tidak membenarkan penggunaan bahasa Inggeris bagi apa-apa maksud rasmi sebagaimana baginda fikirkan patut.
“Mahkamah sekalipun hanya boleh membenarkan bahasa Inggeris digunakan dalam prosiding perbicaraan bersama-sama dengan bahasa Melayu atas kepentingan keadilan,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini Dewan Rakyat kecoh ekoran tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh yang membentangkan RUU anti hendap dalam bahasa Inggeris.
Dalam hal itu, menurut Wan Ahmad Fauzi, pemakaian bahasa Melayu dalam pembentangan RUU penting bagi memudahkan orang awam memahami setiap undang-undang dan pindaan baharu.
Katanya, teks RUU Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah mesti dibentangkan dalam bahasa Melayu supaya semua istilah diguna pakai mudah dirujuk menurut kamus dan prinsip tempatan.
“Barulah penafsirannya nanti akan merujuk kepada apa yang orang Melayu dan bukan Melayu warganegara Malaysia amalkan dalam konteks tempatan, bukannya tafsiran yang datang dari negara luar,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, dalam prosiding Parlimen, Yang Dipertua kedua-dua Majlis Parlimen juga perlu menjunjung prinsip serta semangat Perkara 152 ketika memberikan izin kepada seorang anggotanya untuk berucap dalam bahasa Inggeris.
Ini kerana, katanya, kedudukan rasmi suatu bahasa di Parlimen ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukannya Yang Dipertua Majlis Parlimen tersebut, atau Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Jelas beliau, sejarah perundangan watan tanah air menunjukkan bahawa undang-undang negara ini berlaku secara evolusi sejak ribuan tahun, bukanlah pusaka atau diwarisi daripada undang-undang British sehingga ada pihak cuba menggambarkan seolah-olah negara ini tiada undang-undang sendiri sebelum British campur tangan dalam pentadbiran di Tanah Melayu.
“Tanah Melayu sudah mempunyai sistem undang-undang bertulis tempatan berlandaskan prinsip perundangan Islam yang berkembang dari semasa ke semasa yang lengkap lebih awal daripada “the British glorious revolution 1688” selaras dengan kedaulatan raja-raja Melayu yang masih terpelihara sehingga kini.
“Prinsip undang-undang sebelum tahun 1957, malah kekal pada hari ini, ketika memutuskan sesuatu kes, mahkamah disyaratkan untuk melihat keadaan tempatan, termasuklah Islam sebagai agama negeri, adat tempatan dan orang tempatan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, aplikasi prinsip ‘Common Law’ dan kaedah ekuiti di England juga hanya boleh diterima setakat yang mereka amalkan sehingga tahun 1956 sahaja dengan syarat tidak membawa kepada ketidakadilan kepada penduduk dan rakyat tempatan di negara ini.
Katanya, sistem perundangan negara hanya berpandukan pada prinsip common law dan kaedah ekuiti setakat ada lakuna (kekosongan) seperti syarat di atas kerana negeri Tanah Melayu sudah mempunyai sistem perundangan tersendiri.
“Penerimaan prinsip common law dan kaedah ekuiti Inggeris adalah dalam bentuk modifikasi disebabkan hakim dahulu hanya terlatih dengan prinsip Common Law dan kaedah ekuiti.
“Undang-undang tempatan dahulu menggunakan tulisan Jawi. Malah, undang-undang seperti Kanun Keseksaan memang sudah wujud di Tanah Melayu sebelum kehadiran Inggeris.
“Misalnya negeri Tanah Melayu sudah mempunyai hukuman bagi kesalahan jenayah seperti membunuh, mencuri dan merompak,” katanya. – UTUSAN






